71 NGO berhimpun di Dataran Merdeka esok sempena Hari Pekerja

Mathavi (depan, tiga dari kiri) bersama Jawatankuasa Sambutan 1 Mei dalam satu sidang media berhubung Himpunan Aman Sambutan Hari Pekerja 2024 - Gaji untuk Hidup.
Mathavi (depan, tiga dari kiri) bersama Jawatankuasa Sambutan 1 Mei dalam satu sidang media berhubung Himpunan Aman Sambutan Hari Pekerja 2024 - Gaji untuk Hidup.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Sambutan 1 Mei bersama 71 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai Himpunan Aman Sambutan Hari Pekerja 2024 - Gaji untuk Hidup pada Rabu ini.

Penyelarasnya, S Mathavi berkata, penganjuran program yang berlangsung jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bertujuan bagi mengutarakan tuntutan-tuntutan warga pekerja dan masyarakat tertindas kepada kerajaan.

Mathavi berkata, antara tuntutannya ialah melaksanakan gaji untuk hidup RM2,000 bagi membolehkan pekerja mampu menanggung kos keperluan asas dan mewujudkan Akta Pekerja Gig sekali gus menjamin kebajikan pekerja industri gig atau iktiraf pekerja gig di bawah Akta Kerja 1955.

"Iktiraf hak tanah adat Orang Asal di Malaysia dan pekerja migran harus diberi hak pekerja yang saksama serta perlindungan mencukupi dan mengisytiharkan darurat iklim.

"Selain itu, mansuhkan Akta Hasutan (1948) serta segala undang-undang yang menyekat hak berbicara atau segala perundangan yang menindas rakyat dan hentikan diskriminasi berasaskan gender, jantina dan orientasi seksual," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuan sambutan diadakan adalah untuk memperingati jasa dan perjuangan pekerja lalu yang telah menyumbang kepada hak-hak yang dinikmati oleh pekerja sekarang.

“Sambutan ini juga adalah untuk mengutarakan tuntutan-tuntutan warga pekerja dan masyarakat tertindas kepada kerajaan.

“Antara komuniti yang akan hadir ialah dari sektor pekerja ladang, orang asal Peneroka bandar, pekerja gig, pekerja kontrak, petani, anak muda, penternak dan kumpulan sivil lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mathavi berkata, antara NGO yang terlibat ialah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Undi18, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), All Women’s Action Society (AWAM), Centre for Independence Journalism (CIJ), Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) dan Mahasiswa Demokratik Malaysia (MDM).

Tambahnya, senarai penuh tuntutan lain turut akan diedarkan pada hari himpunan tersebut.

“Program itu akan bermula dengan perarakan pelbagai sektor pekerja daripada Menara Maybank ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Program diteruskan dengan ucapan pemimpin masyarakat, pemimpin nasional dan wakil-wakil rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan pembacaan deklarasi Hari Pekerja di Dataran Merdeka,” ujarnya.