Perlu serius tangani isu sekuriti makanan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENAIKAN harga barang di kawasan luar bandar adalah realiti sebenar yang perlu dihadapi dan telah sekian lama membelenggu penduduk terutama mereka yang tinggal di negeri Pantai Timur khususnya di Terengganu.

Sepanjang tahun 2022, kadar kenaikan harga barang dilihat semakin ketara melibatkan hampir kesemua barangan keperluan asas, elektronik, binaan dan lain-lain yang dijangkakan berlarutan sehingga tahun depan.

Selain perubahan ekonomi global akibat impak pandemik Covid-19, kenaikan kos pengangkutan dan logistik juga dijadikan alasan kepada punca utama kenaikan harga barang.

Isu peperangan juga menjejaskan import bekalan makanan memandangkan Malaysia adalah antara pengimport bekalan makanan dan bergantung sumber bahan makanan ternakan dari negara luar.

Semua pihak kini perlu membuat persiapan lebih rapi menjelang 2023 di mana kadar inflasi negara dijangka lebih meruncing akibat peningkatan permintaan selaras dengan populasi dunia yang kini mencecah 8 bilion.

Selaras dengan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kerajaan Terengganu wajar merebut peluang dengan menumpukan sektor pengeluaran makanan asas dengan mewujudkan ladang-ladang ternakan dan ladang makanan ternakan yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan di negeri itu.

Tumpuan bagi pembangunan sektor berkenaan sudah pasti mampu mengawal bekalan dan harga yang dimonopoli kartel ketika ini.

Agensi kerajaan terlibat juga seharusnya memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan asas, bukan hanya sekadar mengeluarkan sesuatu produk pertanian dan mempatenkan sahaja tanpa memikirkan keadaan bekalan makanan asas di dalam negara yang kini semakin ‘tenat’.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri juga boleh memanfaatkan sepenuhnya dan memajukan lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) selain memberi peluang kepada rakyat melalui penglibatan setiap kerajaan negeri untuk meluaskan lagi skop pengeluaran makanan terutama melibatkan makanan ternakan.

Konsep pengurusan keahlian seperti dilakukan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (Risda) juga boleh dijadikan model bagi membimbing peserta projek TKPM.

Apa yang diusahakan itu bukan sahaja dapat memberikan hasil yang boleh dimanfaatkan untuk ternakan, ia secara tidak langsung dapat menjana ekonomi rakyat tempatan.

Kerajaan juga perlu meneliti bagi mengesan kewujudan 'ali baba' dalam sektor tersebut bagi memastikan kitaran ekonomi berkisar di dalam negara sekali gus memastikan bekalan di dalam negara tidak terjejas.

Hasilnya, petani muda juga turut dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencetuskan revolusi dalam sektor pertanian negara sekali gus meningkatkan minat golongan berkenaan dalam sektor pertanian.

Apabila pengeluaran ini dapat dilaksanakan, ia dilihat mampu mengelak lonjakan inflasi dalam negara.

Timbalan Presiden, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Gan Raymond berkata, ECRL mampu membuka lebih banyak Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Terengganu.

Jelas beliau, hal itu mampu dicapai dengan syarat kerajaan negeri mempunyai dasar mesra pelabur terutamanya dalam tawaran tanah perindustrian untuk menarik pelabur.

“Lebih banyak FDI/DDI akan membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus membolehkan masyarakat di negeri ini beroleh pendapatan yang lebih tinggi tanpa perlu ke luar Terengganu.

“Sektor pertanian, penternakan dan perikanan boleh ditambah baik di Terengganu kerana kita mempunyai kawasan tanah yang luas dan cuaca yang baik.

“Kita sedang menghadapi krisis makanan pada masa depan malah kerajaan juga melihat isu ini dengan begitu serius,” katanya.

Isu berkaitan sekuriti makanan negara dilihat bukan perkara baharu yang wajar diberikan tumpuan.

Ia melibatkan soal jaminan keperluan makanan domestik negara yang seharusnya diberikan tumpuan yang lebih serius untuk mendepani cabaran pada masa akan datang.

Malangnya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiada satu pun manifesto parti politik yang dilihat mahu memperkasakan sektor ekonomi pertanian khususnya sektor pengeluaran makanan dalam negara.

*Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu