PRU15: Lebih 52 peratus mahu Ismail Sabri terus jadi PM

Ismail Sabri (tengah).
Ismail Sabri (tengah).
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar diberi peluang untuk memimpin negara dengan mandat penuh.

Itu berdasarkan dapatan kajian Ilham Centre mengenai tahap penerimaan rakyat terhadap kerajaan dan dasar Keluarga Malaysia.

"Sebanyak 52.8 peratus bersetuju Ismail Sabri wajar diberikan peluang untuk mengemudi kerajaan untuk tempoh lebih panjang demi kepentingan rakyat.

Siaran media Ilham Centre.
Siaran media Ilham Centre.

"Keputusan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen turut menerima respons baik iaitu selepas Parlimen dibubarkan dan berdasarkan situasi semasa 56.8 peratus bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada hujung tahun ini," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, tahap keyakinan rakyat berkaitan pencapaian baik negara berbanding negara serantau dalam menangani kesan langsung ekonomi dunia terhadap beban rakyat berada pada paras 49.1 peratus.

"Ini dilihat memberangsangkan melalui pelbagai intervensi kerajaan seperti pelaksanaan subsidi dan kawalan harga yang dilaksanakan Perdana Menteri," ujarnya.

Selain itu, 80 peratus menunjukkan responden bersetuju pembukaan semula ekonomi pada 1 April lalu dan ia merupakan tindakan tepat Ismail Sabri yang berjaya mengeluarkan negara daripada pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"78 peratus responden bersetuju terhadap peruntukan subsidi RM 77.7 bilion oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang dianggap terbesar dirasakan perlu dalam menyokong pemulihan ekonomi negara.

"Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang bersifat berkala juga mencatat skor tertinggi iaitu 87.2 peratus. Umum mengetahui bahawa ini merupakan bantuan sara hidup tertinggi sejak ia diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

"Dalam isu ekonomi, isu terkait rapat kepada rakyat jauh lebih menjadi keutamaan dan ini dibuktikan apabila 84.1 peratus bersetuju usaha kerajaan melalui penetapan tarif elektrif serta kawalan harga barang keperluan asas perlu diteruskan.

Ujar kenyataan itu lagi, ia berjaya membuktikan bahawa pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah tepat bersesuaian pada waktunya.

"Perdana Menteri yang digelar 'Designated Survivor' sememangnya mampu bertahan mengurus krisis dalam krisis iaitu krisis kesihatan, politik dan ekonomi sepanjang pentadbiran beliau dengan gaya kepimpinannya tersendiri," katanya.

Kajian itu dilaksanakan selama 3 minggu bermula 20 Oktober sehingga 6 November lalu melibatkan kaji selidik secara bersemuka di lapangan.

Seramai 1,211 responden dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia terlibat dalam kajian ini.