Projek tebatan banjir RM8 juta atasi banjir kilat di Kapar

Sairi (kanan) bersama Kamis di hadapan rumah seorang penduduk di Taman Sri Puteri yang masih belum melakukan pembersihan akibat banjir kilat Khamis lalu. Gambar kecil: Izham
Sairi (kanan) bersama Kamis di hadapan rumah seorang penduduk di Taman Sri Puteri yang masih belum melakukan pembersihan akibat banjir kilat Khamis lalu. Gambar kecil: Izham
A
A
A

KLANG - Kerajaan Selangor bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan Sungai Kapar Kecil dengan anggaran peruntukan sebanyak RM8 juta.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, projek akan dimulakan dalam masa terdekat dan mengambil masa kurang setahun untuk disiapkan.

Menurutnya, ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf longkang dan parit dengan harapan dapat menyelesaikan isu banjir di kawasan sekitar serta memberi keselesaan kepada penduduk.

“Untuk keseluruhan projek tebatan banjir di kawasan berkenaan memerlukan memperuntukkan RM8 juta yang mana MPK membelanja RM6 juta dan selebihnya dibiayai kerajaan negeri Selangor.

“Projek tebatan banjir tersebut akan dimulakan dalam masa terdekat dan tempoh siapnya dijangka mengambil masa kurang dari setahun,” kata Izham kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai aduan penduduk Taman Sri Puteri, Kapar di sini yang dibelenggu masalah banjir kilat.

Keadaan banjir kilat di kawasan Taman Sri Puteri pada Khamis lalu.
Keadaan banjir kilat di kawasan Taman Sri Puteri pada Khamis lalu.

Khamis minggu lalu, beberapa kawasan di Klang termasuk kawasan perumahan Taman Sri Puteri dan beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan.

Artikel Berkaitan:

Izham berkata, beliau juga sudah melakukan lawatan di Kapar bagi melihat cadangan projek tebatan banjir itu beberapa hari lalu dan ia diharap dapat mengatasi masalah banjir termasuk di Taman Sri Puteri.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Puteri, Kamis Pairan, 51, berkata, seramai 200 daripada 400 penduduk terjejas dalam kejadian banjir kilat pada Khamis minggu lalu.

Menurutnya, seramai 150 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terdekat manakala selebihnya terpaksa menginap di hotel bajet kerana faktor tertentu.

"Penduduk bersikap terbuka dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak namun jalan penyelesaian terbaik perlu diambil bagi mengatasi masalah banjir kilat termasuk meningkatkan tahap sistem perparitan," katanya.

Turut sependapat, Sairi Kasiran, 61, yang mahu pihak berkuasa tempatan mencari jalan bagi mengurangkan impak kerugian penduduk berdepan masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.

"Kami tidak mampu untuk terus-menerus mengeluarkannya perbelanjaan bagi menggantikan peralatan rumah rosak akibat banjir dan berharap keadaan ini dapat diatasi dengan segera," katanya.