PRU15: Serampang tiga mata untuk Bagan Datuk

Shamsul Iskandar menetapkan tiga teras utama visi SAM (Shamsul, Akujanji & Manifesto) pada PRU15 untuk pengundi di Parlimen Bagan Datuk.
Shamsul Iskandar menetapkan tiga teras utama visi SAM (Shamsul, Akujanji & Manifesto) pada PRU15 untuk pengundi di Parlimen Bagan Datuk.
A
A
A

BAGAN DATUK - Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menetapkan tiga teras utama visi SAM (Shamsul, Akujanji & Manifesto) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Manifesto itu kelak bakal memberi manfaat kepada rakyat Bagan Datuk yang memerlukan arus perubahan tanpa mengira agama, kaum dan ideologi politik.

"Pertama, memastikan pengagihan ekonomi berlaku lebih sekata dengan pembangunan infrastruktur dan modal insan tidak hanya menumpukan sesetengah kawasan atau kaum.

"Kedua, pengurusan peruntukan kawasan yang telus dan berintegriti. Kami akan mengeluarkan kad laporan Pusat Khidmat Ahli Parlimen untuk semakan umum.

"Terakhir, menaik taraf Infrastruktur untuk menjadikan Bagan Datuk kawasan bandar moden, selesa didiami tanpa mengabaikan nilai tradisi," katanya.

Pada PRU15, Shamsul Iskandar akan berhadapan penyandang kerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dua lagi pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Faiz Na’aman serta calon Bebas, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail.

Seramai 58,183 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Bagan Datuk layak mengundi pada PRU15.

Mengulas insiden provokasi di Sungai Dulang, di sini pada petang Ahad, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Ketua Penerangan PKR itu berkata, setiap parti yang bertanding telah diberi taklimat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa kempen berlangsung.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan mengganggu kempen serta khianat kepada calon lain mencabuli proses demokrasi.

"Kita berbeza pendapat soal idealisme namun tindakan tidak bertamadun seperti yang berlaku baru-baru ini semasa kempen saya bersama Datuk Afdlin Shauki mungkin disebabkan ada calon yang berasa terancam dengan gerakan kebangkitan rakyat yang telah memendam rasa selama 27 tahun diabaikan ahli parlimen yang sama," dakwanya.