Cuaca panas: Tiga masjid utama adakan solat hajat esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan solat hajat di tiga masjid utama pada Khamis iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini berikutan keadaan cuaca panas dan kering di seluruh negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta untuk melaksanakan solat hajat pada tarikh sama untuk memohon kesejahteraan negara dan masyarakat.

Menurutnya, keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini yang memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat dalam urusan seharian.

"Sehubungan dengan itu, jabatan ini ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa supaya cuaca kembali berada dalam keadaan baik," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menyenaraikan 14 kawasan panas yang berada di tahap berjaga-jaga.

Ia membabitkan di Pasir Mas, Kuala Krai, Raub, Bentong, Bera, Temerloh, Jerantut, Lipis, Kuantan, Batang Padang, Kuala Selangor, Jempol, Beaufort dan Kinabatangan.

Tahap berjaga-jaga adalah suhu maksimum harian di antara 35 hingga 37°C sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.