Rafizi lapor polis terhadap Ketua Pemuda Pas Sik, pelakon

Rafizi
Rafizi
A
A
A

AMPANG - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung ucapan pelakon, Zul Huzaimy yang berbaur perkauman dan kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mohamad Nasir yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, Rafizi membuat laporan terhadap kedua-dua individu terbabit di Balai Polis Ampang, jam 11.38 pagi, Selasa.

"Pengadu memohon supaya siasatan dijalankan berkaitan isu berkenaan dan merasakan kandungan video tersebut boleh menyebabkan ketidaktenteraman awam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati satu kertas siasatan telah dibuka bersabit dengan laporan polis di Alor Setar, Kedah bagi isu video tular melibatkan Mohd Shahiful.

"Kes disiasat bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kertas siasatan dibuka bersabit dengan laporan polis di Chukai, Kemaman Terengganu yang melibatkan Zul Huzaimy.

"Kes disiasat bawah Seksyen 506, 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Mohd Shahiful pada Jumaat lalu telah memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu undi BN dan PH masuk neraka.

Artikel Berkaitan:

Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video yang disiarkan di Facebook Pemuda Pas Sik pada Jumaat.

Dalam video berdurasi 34 saat itu, beliau turut memohon untuk dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan perlawanan PRU15.

Pada Isnin, media melaporkan, Zul Huzaimy membuat permohonan maaf terbuka menerusi satu klip video berdurasi 21 saat yang dimuat naik di akaun Instagram peribadi pelakon terbabit.

Menerusi permohonan maaf berkenaan, beliau menafikan dirinya sebagai ekstremis sebaliknya menjelaskan bahawa kenyataannya disalah tafsir hanya berdasarkan klip video tular yang telah dipotong dan meminta orang ramai menonton rakaman versi penuh.