[VIDEO] 'Pengisian lagi penting, bukan singkat atau lama jadi PM'

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sindiran pihak tertentu bahawa beliau menjadi pemimpin nombor satu paling singkat dalam sejarah negara tidak sesekali meninggalkan sebarang ‘kudis’ baginya.

Sebaliknya, calon Parlimen Bera itu berkata, apa lebih penting adalah membuktikan pencapaian kerajaan yang diterajuinya sepanjang tempoh 14 bulan mentadbir negara.

“Yang penting pengisian sewaktu tempoh tersebut. Tempoh masa pendek atau panjang itu tidak penting...Panjang tapi tidak melakukan apa-apa untuk kepentingan rakyat pun tidak ada makna,” katanya dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

Menurut Ismail Sabri, ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Ogos tahun lalu yang disifatkan dalam ‘keadaan terlalu sukar’, beliau perlu memberikan seluruh fokus dan tenaga untuk menangani pelbagai cabaran besar ketika itu.

Jelasnya, bukan sahaja perlu menangani wabak Covid-19 yang masih mengganas, situasi negara turut diburukkan lagi dengan ekonomi yang merudum serta situasi politik yang tidak stabil.

“Tiga isu ini yang perlu saya fokus. Walaupun saya diberi jangka masa yang pendek tetapi perkara-perkara tersebut dapat diatasi. Covid-19 dapat diturunkan sehingga kita boleh buka semula sektor ekonomi,” katanya.

Logo Keluarga Malaysia.
Logo Keluarga Malaysia.

Tambah Naib Presiden UMNO itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk menilai prestasinya sepanjang tempoh menerajui negara sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau dalam masa sama berharap rakyat turut mengambil kira pentadbirannya sebelum ini adalah kerajaan campuran yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan beberapa parti lain.

“Bukan senang nak urus kerajaan campuran, terutama yang terdiri daripada pesaing anda. Kena ingat UMNO tidak mahu situasi itu," katanya.

Ismail Sabri turut menjelaskan, UMNO pada awalnya mahu pilihan raya umum diadakan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang, tetapi ia tidak dapat diadakan kerana Covid-19 sedang mengganas.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut mengimbau sejarah baharu politik negara di bawah pentadbirannya apabila Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) berjaya diwujudkan.

MoU itu diwujudkan bagi membentuk kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia yang merangkumi enam agenda utama antaranya pemeriksaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman dan sebagainya.

“Saya lihat perbalahan politik sia-sia sahaja kerana fokus yang patut diberikan oleh kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Pencapaian kerajaan Keluarga Malaysia

Di sebalik pelbagai badai perlu dilalui sepanjang 14 bulan menerajui kerajaan, Ismail Sabri berjaya membuktikan ia bukan halangan untuknya terus berkhidmat kepada rakyat.

Mengangkat tema ‘Keluarga Malaysia’ sebagai kerajaan yang ditadbirnya, banyak kejayaan berjaya dicipta antaranya pembukaan semula sektor ekonomi dan sempadan negara bermula April tahun ini selepas lebih dua tahun ia ditutup kerana pandemik Covid-19.

Pembukaan semula sektor ekonomi dan sempadan negara katanya, menjadi antara langkah utama diambil kerajaan pada ketika itu untuk memulihkan kembali ekonomi negara.

Kejayaan lain turut dicapai adalah bantuan bencana banjir berjumlah RM2.03 bilion turut diperuntukkan bagi membantu meriangkan beban mangsa banjir yang terjejas hujung tahun lalu.

Pencapaian Keluarga Malaysia.
Pencapaian Keluarga Malaysia.

“Bagi akspek pengiktirafan pula sebanyak RM133.7 bilion nilai jualan borong dan runcit pada Ogos 2022 iaitu tertinggi sejak 2013. Selain itu, RM77.7 bilion peruntukan subsidi tahun 2022, juga tertinggi dalam sejarah untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajuinya juga berjaya memberi sinar baharu apabila Akta Anti Lompat parti yang bertujuan untuk menjamin kestabilan politik negara berjaya diwartakan.

Turut memberi sinar baharu adalah pemerkasaan bahasa Melayu yang menyaksikan penggunaan bahasa kebangsaan itu digunakan dalam setiap utusan rasmi termasuk di luar negara.