Peralatan Lake Coaster di MAPs terbiar

Zhemin menunjukkan sebahagian komponen berkenaan.
Zhemin menunjukkan sebahagian komponen berkenaan.
A
A
A

IPOH - Pentadbiran Kerajaan Perak sebelum ini perlu memberikan jawapan berhubung peralatan bagi tarikan Lake Coaster di Taman Tema Animasi (MAPs) yang terbiar sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Bhd (PCB), Chong Zhemin berkata, peralatan yang dipercayai melibatkan komponen-komponen binaan bagi tarikan Lake Coaster itu difahamkan telah terbiar di kawasan berhampiran MAPs tanpa sebarang usaha dilakukan bagi memasangnya.

Malah menurut Zhemin, hasil siasatan mendapati, komponen-komponen berkenaan telah dibeli dengan harga lebih mahal berbanding harga sebenar.

"Komponen-komponen ini difahamkan hanya melibatkan kos pembelian berjumlah RM20.3 juta.

"Tetapi pihak Animation Theme Park (ATP) didapati telah membuat pembayaran berjumlah RM22 juta.

"Kita bayar lebih walaupun pengurusan tidak ada rancangan langsung untuk pasang. Kalau kita nak pasang, kos libatkan RM3 juta hingga RM4 juta," katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Zhemin, ada pihak luar negara yang menyatakan tawaran untuk membeli komponen-komponen berkenaan.

"Ada satu pembeli nak beli AS$2.8 juta (RM11.5 juta), tetapi kalau jual kita rugi RM10.5 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zhemin berkata, satu lagi tarikan, Selfie Boardwalk akan ditutup.

Katanya, penutupan berkenaan adalah berikutan keadaannya yang agak berbahaya untuk digunakan.

"Selfie Boardwalk ini dah dipasang dengan kos RM285,000, tapi tak sampai setahun pembukaannya, terpaksa ditutup sebab faktor keselamatan.

"Kita mula tutup pada 11 Jun 2018. MAPs dibuka pada Julai 2017," katanya.