Dewan Rakyat teliti siar prosiding PAC secara langsung

Mohamad Ariff
Mohamad Ariff
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat akan meneliti cadangan bagi melihat sama ada

prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), boleh dijalankan secara siaran langsung.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau ambil maklum mengenai perkara itu namun ia perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Cadangan ini perlu kita lihat selangkah demi selangkah, memang menjadi keutamaan kita hendak pinda Peraturan Mesyuarat, tapi setakat ini Peraturan Mesyuarat tidak membenarkan perkara itu.

"Kita sedang fikirkan cara terbaik kalau lihat apa yang berlaku di luar negara pun mereka ikut kesesuaian, jadi kita pilih apa yang sesuai untuk Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Hotel Shangri-la, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan bekas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang meminta Mohamad Ariff mempertimbangkan cadangan beliau supaya prosiding PAC dijalankan secara siaran langsung.

Ronald sebelum ini berkata, cadangan itu diutarakannya bagi membolehkan pengamal media membuat liputan secara langsung mengenai prosiding yang dijalankan pihak PAC.

Katanya, pihak PAC juga telah menghantar surat rasmi kepada Mohamad Ariff berhubung perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohamad Ariff berada di Hotel Shangri-la bagi menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa Terralex 2019.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu antaranya membincangkan mengenai isu undang-undang global.

Ia menarik 200 pengamal undang-undang tempatan dan antarabangsa membabitkan penyertaan dari 50 buah negara.