PRU15: Isu lompat parti tak timbul, saya dipecat - Rashid

Mohd Rashid pada sidang akhbar di Batu Pahat pada Isnin.
Mohd Rashid pada sidang akhbar di Batu Pahat pada Isnin.
A
A
A
BATU PAHAT - [KEMAS KINI] Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyifatkan isu lompat parti yang dimainkan parti lawan tidak timbul berikutan beliau sebenarnya dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Susulan itu, beliau akan mengepilkan surat pemecatan yang diterimanya daripada PKR.

"Isu lompat tidak timbul kerana saya tidak pernah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat. Saya akan kepilkan surat pemecatan yang saya terima daripada PKR.

"Langkah Sheraton bukan lompat parti," katanya pada sidang media di Batu Pahat pada Isnin.

Tambahnya, isu sebenar langkah Sheraton adalah waktu itu semua ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN berpendapat bahawa keutamaan adalah untuk memastikan pemerintahan kerajaan mendapat sokongan kukuh.

Katanya, perkata itu telah diputuskan di dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan beliau tidak mahu terlibat dengan desakan sekumpulan Ahli Parlimen yang membelakangkan keputusan mesyuarat PH.

"Tidak timbul isu lompat. Pertemuan Ahli Parlimen di Sherathon adalah usaha mendapatkan sokongan yang kukuh untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad waktu itu.



"Kemudian Tun M letak jawatan. Jadi apa pilihan yang ada adalah keutamaan untuk memastikan kestabilan politik kerana wabak Covid-19 mula menular dan kita ambil kira semua aspek termasuk keselamatan rakyat dan ekonomi negara.

"Itu kisahnya. Boleh rujuk perbahasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab persoalan Ahli Parlimen Beufort ketika pindaan Rang Undang-Undang Anti Lompat di Parlimen bila ditanya tentang peristiwa 16 September itu," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Rashid bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat dengan majoriti 17,894 undi. Beliau menewaskan calon BN, Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Artikel Berkaitan: