PBT digesa pertimbang kelulusan perlombongan

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua negeri terutamanya Perak, Kedah, Kelantan dan Pahang supaya mempertimbangkan semula dan membatalkan kelulusan operasi perlombongan di negeri tersebut.

Gesaan itu diketuai Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan turut disokong Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia (Bumi Hijau), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA Malaysia), Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia), Sahabat Alam Sik (SAS) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, di Kedah, Kelantan dan Pahang dilaporkan berlaku aktiviti perlombongan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

Menurutnya, gesaan dan pertimbangan tersebut adalah selari dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 18 November 2014 yang telah memutuskan supaya semua negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian di kawasan HSK dan KSAS.

"Kewajaran MTN melaksana ketetapan tersebut kerana aktiviti perlombongan dan kuari di kawasan HSK secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

"Sebagai contoh, lokasi cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah adalah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang) manakala di Perak pula, terletak di dalam sebahagian Koridor Rangkaian Ekologi 'Central Forest Spine' 1 - Primary Linkage 8: Hutan Simpan Kenderong - HS Bintang Hijau, Daerah Hulu Perak (Koridor Rangkaian Ekologi CFS 1 - PL 8: HS Kenderong - HS Bintang Hijau)," katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat CAP di sini pada Isnin.

Pihaknya turut mempersoalkan tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat tidak menunjukkan kesungguhan bagi menangani kecurian REE di HS Bukit Enggang.

"Mengapa PBT tidak mempersoal kepada dua agensi berkaitan iaitu Jabatan Perhutanan Negeri dan anak syarikat kerajaan Kedah yang diberi Permit Penggunaan bagi menjalankan aktiviti dalam HS Bukit Enggang, Menteri Besar Inc?

Artikel Berkaitan:

"Adalah mustahil kedua-dua agensi tersebut langsung tidak mengetahui apa yang berlaku sedangkan ia merupakan kawasan larangan bagi yang tidak berkenaan. Perkara ini diketahui umum hanya selepas pihak media mendedahkan isu kecurian REE di HS Bukit Enggang," ujarnya.

Mohideen berkata, penduduk kampung berhampiran juga memaklumkan, aktiviti kecurian REE di HS Bukit Enggang menyebabkan sumber air mereka tercemar kerana majoriti penduduk masih menggunakan sumber air dari hutan simpan tersebut yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan.

"Kenyataan Menteri Besar Kedah juga mengelirukan apabila menyatakan MB Inc mengesahkan bahawa sumber air dari kawasan kecurian REE tidak tercemar sedangkan agensi tersebut bukanlah agensi yang berautoriti dan berkelayakan mengesahkan sama ada sumber air tercemar atau sebaliknya.

"Dalam isu perlombongan di Mukim Kenering, Perak, berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) Cadangan Perlombongan Unsur Nadir Bumi pula adalah dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) dan Koridor Rangkaian Ekologi yang telah dikenal pasti untuk pemuliharaan dan perlindungan," jelas beliau.

Ujarnya, berdasarkan Rancangan Fizikal Negara (RFN), langkah pengurusan di KSAS Tahap 1 tiada kegiatan pembangunan, pertanian dan pembalakan dibenarkan kecuali bagi tujuan pelancongan eko berimpak rendah, kegiatan penyelidikan dan pendidikan sahaja.

"Kandungan Laporan EIA Cadangan Perlombongan Unsur Nadir Bumi di negeri Perak tersebut jelas menyatakan kerja-kerja tanah projek akan memberi impak sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada kemusnahan habitat hidupan liar termasuk hidupan akuatik dan potensi kehilangan spesies hidupan liar.

"Ini ditambah pula jumlah tempoh kerja-kerja melombong dijangka agak lama iaitu selama 12 tahun manakala tempoh kelulusan lesen melombong pula adalah terlalu lama iaitu sehingga 30 tahun. Tempoh jangkaan melombong dan tempoh kelulusan melombong yang terlalu panjang, secara tidak langsung akan menyebabkan kemusnahan habitat yang boleh memberi impak penghapusan hidupan liar di kawasan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana operasi perlombongan boleh dijalankan sebelum mendapat kelulusan Laporan EIA kerana berdasarkan semakan 'google map' dan gambar drone mendapati berlaku kerja-kerja tanah dan struktur loji hidrometalurgi di lokasi cadangan projek.

"Oleh demikian, kami menggesa semua PBT mengambil tindakan memberhentikan dan tidak membenarkan lagi sebarang kegiatan berisiko impak seperti aktiviti perlombongan di kawasan HSK dan kawasan sensitif alam sekitar.

"Kerajaan tidak harus mengutamakan keuntungan dan tidak mengendahkan kesihatan selain kesejahteraan manusia serta alam sekitar. Ekosistem sensitif mesti dilindungi," katanya.