Kejayaan Op Lancar, Op Selamat 20 hasil kerjasama semua pihak

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan pelaksanaan Op Selamat 20 sempena Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April mencapai objektif ditetapkan hasil kerjasama semua pihak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, selain Op Selamat 20, PDRM juga melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April lalu yang dilihat turut mencapai sasaran diinginkan.

"Alhamdulillah, Op Lancar serta Op Selamat 20 sempena sambutan Aidilitri 2023 telah pun berjaya dilaksanakan.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri serta keluarga, demi memastikan keselamatan rakyat diberikan keutamaan sepanjang musim perayaan ini.

"Sesungguhnya, jasa serta pengorbanan para petugas dalam memastikan keadaan lalu lintas berjalan lancar serta kediaman yang ditinggalkan terjaga daripada sebarang insiden yang tidak diingini adalah amat dihargai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Acryl Sani berkata, perkara tersebut jelas menunjukkan komitmen tinggi warga pasukan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan.

Jelas beliau, kebijaksanaan barisan kepimpinan PDRM dalam menyusun strategi penugasan dan penggiliran tugas secara teliti sepanjang musim perayaan kali ini juga harus diberikan pujian.

Selain itu kata beliau, setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada pasukan-pasukan sahabat, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, rakan-rakan kolaborasi serta pihak media yang turut berganding bahu memastikan Op Selamat 20 berjalan lancar.

"Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada seluruh ahli masyarakat yang telah mematuhi peraturan dan undang-undang demi memastikan keselamatan diri serta insan yang tersayang," katanya.