Tak sangka banjir awal, pengantin tetap sanding 11.11

Mohamad Sharul Nizam (tengah) bersiap di PPS SK Gual To’Deh di Rantau Panjang.
Mohamad Sharul Nizam (tengah) bersiap di PPS SK Gual To’Deh di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sepasang pengantin dari Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh di sini nekad meneruskan majlis perkahwinan mereka pada tarikh 11.11.2022 walaupun rumah pengantin lelaki dilanda banjir setinggi 1.5 meter.

Pasangan itu, Mohamad Sharul Nizam Kamaruddin, 21, dan Nor Alia Tashneem Ramli, 21, selamat diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan di Kampung Bongor, Pasir Mas pada jam 9 malam Khamis.

Mohamad Sharul Nizam berkata, majlis akad nikah dan kenduri mereka pada asalnya dijadualkan berlangsung di sebelah pihak lelaki sahaja di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh, namun akibat banjir terpaksa ditukar lokasi ke rumah pengantin perempuan di Kampung Bongor, Pasir Mas.

Mohamad Sharul Nizam (lima dari kanan) bersedia bersama saudara-mara untuk ke majlis kendurinya di rumah pengantin perempuan di Kampung Bongor, Pasir Mas.
Mohamad Sharul Nizam (lima dari kanan) bersedia bersama saudara-mara untuk ke majlis kendurinya di rumah pengantin perempuan di Kampung Bongor, Pasir Mas.

“Perancangan sudah dilakukan tiga bulan lalu dengan menjangkakan banjir pada hujung Disember. Memandangkan isteri adalah anak yatim, semua majlis dirancang dilakukan di rumah saya.

“Tak sangka banjir lebih awal melanda sejak Khamis lalu menyebabkan pertukaran lokasi majlis dibuat pada saat-saat akhir di rumah pengantin perempuan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.

Mohamad Sharul Nizam yang juga peniaga ikan itu turut melalui pengalaman manis dan berharga seumur hidupnya apabila bersiap sebagai mempelai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.

“Ada 30 mangsa banjir ditempatkan di PPS ini dan mereka semua saudara-mara saya.

Artikel Berkaitan:

“Mereka membantu menyiapkan hantaran kahwin sebanyak tujuh dulang dan bersama-sama berarak ke rumah pengantin perempuan walaupun hari hujan,” katanya.

Kawasan rumah pengantin lelaki di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh yang dilanda banjir.
Kawasan rumah pengantin lelaki di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh yang dilanda banjir.

Tambahnya, majlis perkahwinan mereka itu diteruskan atas nasihat keluarga kerana semuanya sudah tersedia.

“Kami nak elak pembaziran, lagi pun rumah pengantin perempuan belum lagi banjir dan dijangka banjir juga selepas ini.

“Saya dan isteri tak akan lupakan pengalaman manis berkahwin dalam banjir buat seumur hidup kami,” katanya.