'Sentimen pengundi tak berubah, masih sokong PH di Kota Raja'

Program Sinar Live bertajuk 'Kota Raja Masih Kubu PH?’ menampilkan calon PH Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu (kanan) disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN.
Program Sinar Live bertajuk 'Kota Raja Masih Kubu PH?’ menampilkan calon PH Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu (kanan) disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN.
A
A
A

KLANG - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mendakwa sentimen pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih tidak berubah dan mereka masih menyokong Pakatan Harapan (PH) di Kota Raja.

Bagaimanapun, calon Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, apa yang tidak dapat diukurnya adalah sentimen pengundi yang pertama kali mengundi dan berumur 18 tahun.

"Di Kota Raja ini, jumlah pengundinya hampir sama ramai dengan satu Negeri Perlis, lebih daripada 260,000 pengundi.

"Jadi, kalau kita nak bertemu dengan para pengundi tidak sempat. Cuma jentera kita, PH mereka bekerja dengan begitu keras untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live dikendalikan oleh Fahiz Ariff yang bertajuk 'Kota Raja Masih Kubu PH?’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Menyentuh pertandingan lapan penjuru di Kota Raja, Mohamad berpandangan saingan terdekatnya bagi kawasan berkenaan adalah BN dan Perikatan Nasional (PN).

Mohamad Sabu. Foto SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN.
Mohamad Sabu. Foto SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN.

"Saya ingat saingan yang ada BN dan PN. Yang lain-lain itu kita alu-alukan. Siapapun boleh bertanding asalkan ada duit bayar deposit, boleh bertanding," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan penyandang Parlimen itu turut menyatakan antara isu mahu ditanganiya di Kota Raja adalah masalah infrastruktur seperti masalah jalan, longkang dan banjir kilat disifatkannya sebagai paling utama.

"Jalan-jalan yang dibuat barangkali direka untuk jalan kampung. Tetapi kita tahu (Kota Raja) ini menuju ke Pelabuhan Klang. Banyak lori-lori besar kadangkala melintasi kawasan-kawasan yang jalannya direka hanya untuk kenderaan tidak begitu berat.

"Jika kenderaan berat menggunakannya menyebabkan jalan di sini berlopak dan berlubang. Begitu juga keadaan longkang tersumbat dengan sampah yang merata. Ini perkara kita perlu tangani dari masa ke masa.

"Satu daripada pemerintah (iaitu) negeri dan persekutuan, kedua kelakuan rakyat juga kita kena baiki," ujarnya.