Hamzah dipecat: Bersekutu Bersatu Johor umum bubar

Tan Lek Khang
Tan Lek Khang
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor mengumumkan pembubaran rasmi berkuat kuasa serta-merta susulan penyingkiran Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada parti itu.

Pengerusi Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang berkata, beliau turut mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa hari ini sebagai tanda bantahan terhadap keputusan berkenaan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) Negeri Bersekutu Johor mengambil pendirian sama dengan meletakkan jawatan, sekali gus membawa kepada pembubaran sayap bersekutu di peringkat negeri.

“Pembubaran ini dibuat bagi menyatakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan kami terhadap keputusan penyingkiran Timbalan Presiden parti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, antara kepimpinan Bersekutu Bersatu Johor yang turut meletakkan jawatan ialah Naib Pengerusi, Poobalan Ponnusamy (Tebrau); Setiausaha, Yeo Kwee Kwang (Pulai); Setiausaha Kerja, Kevin Wong Chan Giap serta Bendahari, Roland Lim Ching Eng (Johor Bahru).

Turut sama ialah Ketua Penerangan, Khoo Kong Ek (Iskandar Puteri); Biro Aduan Awam, Lim Thow Siang (Tebrau) bersama Naib Ketua, Ang Tun Chek; Biro Antarabangsa, Yap Wen Piau (Pasir Gudang); Biro Pendidikan, Kalai Arasan (Tebrau); Ketua Pemuda, Eugene Lim Yew Chin (Sembrong) dan Ketua Wanita, Joan Ng Geok Yin (Kluang).

Selain itu, AJK negeri yang terlibat ialah Tong Liang Fook (Segamat), Goh Jun Hao (Kota Tinggi), Gan Guo Qin (Bandar Tenggara) dan Sadra Segaran (Kulai).

Dalam perkembangan sama, Lek Khang memaklumkan bahawa Biro Aduan Awam Bersekutu Johor yang dibubarkan akan dinamakan semula sebagai Pasukan Perkhidmatan Datuk Tan Lek Khang JP.

Katanya, pasukan berkenaan akan terus diterajui oleh Lim Thow Siang dan Ang Tun Chek bagi meneruskan perkhidmatan serta perundingan kepada masyarakat umum.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan memecat keahlian Hamzah berkuat kuasa pada Jumaat.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat terhadap Timbalan Presiden Bersatu itu menerusi persidangan yang berlangsung pada Khamis kerana tindakannya didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Ringkasan AI

  • Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor mengumumkan pembubaran rasmi susulan penyingkiran Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin
  • Pengerusi Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang mengumumkan keluar dari Bersatu sebagai bantahan
  • Sebahagian besar AJK Negeri Bersekutu Johor letak jawatan, membawa kepada pembubaran sayap bersekutu
  • Pembubaran untuk nyatakan tidak puas hati terhadap keputusan penyingkiran Timbalan Presiden parti
  • Beberapa pimpinan Bersekutu Bersatu Johor turut meletakkan jawatan, termasuk posisi Naib Pengerusi dan Setiausaha

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!