'Pilih parti berjuang untuk agama, bangsa, negara' - Mufti NS

Mohd Yusof Ahmad
Mohd Yusof Ahmad
A
A
A

SEREMBAN - Parti atau calon yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menentukan syurga atau neraka seseorang.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, apa yang terbaik ialah memilih parti yang dasar perjuangannya adalah demi agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, menjadi hak setiap orang untuk memilih calon pemimpin mereka sendiri.

"Mengikut sistem negara kita, yang menubuhkan kerajaan itu adalah parti dan menjadi tanggungjawab kita memilih parti yang berwibawa yang boleh memberikan sumbangan untuk kemajuan ekonomi negara dan rakyat.

"Jadi tidak kira sesiapa dalam parti itu sama ada baik atau tidak, Islam atau tidak, kita tidak dapat elak, kerana individu itu berada dalam parti yang dipilih dan soal pemilihan parti itu langsung tiada kaitan syurga dengan neraka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Selain itu katanya, dalam Islam dinyatakan antara ciri-ciri pemimpin yang perlu dipilih ialah beriman, berilmu, beramal dan berakhlak.

Bagaimanapun katanya, dalam setiap parti itu mempunyai calon-calon yang pelbagai sikapnya selain terdiri daripada berbilang kaum.

"Ada beriman tapi tak berilmu, ada berilmu tapi tak beramal dan beramal tapi tidak berakhlak.

Artikel Berkaitan:

"Yang pastinya syurga dan neraka itu tidak bergantung semata-mata kepada amalan baik atau kejahatan dilakukan dan ia adalah atas kehendak ALLAH, bukannya sesiapa," katanya.

Semalam, tular video ucapan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir yang memberikan hukum masuk neraka sekiranya rakyat mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun hari ini beliau tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik semula kenyataannya.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful berkata, beliau menyedari kekhilafannya dan meminta orang ramai menghentikan segala bentuk penyebaran video ketika sesi ceramahnya semalam.