PRU15: Wie Jiet isytihar harta, cabar calon lain umumkan aset

WEI JIET
WEI JIET
A
A
A

PONTIAN - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai, Lim Wei Jiet, mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih berjumlah RM472,410.21

Wei Jiet, 31, yang juga pengasas bersama Muda dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda berkata, pengisytiharan harta itu membabitkan aset dimilikinya setakat 30 September lalu dan ia dilakukan mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Jelasnya, kebanyakan aset berkenaan diperoleh sebelum beliau menyertai politik dengan kerjaya sebagai seorang peguam.

Jumlah yang diisytiharkan itu termasuk wang simpanan tunai RM16,000 dan memiliki pegangan dan kepentingan saham bagi syarikat tersenarai awam tempatan bernilai RM24,300 dan New York Stock Exchange sebanyak RM166,519.

Beliau turut memiliki sebuah firma guaman, Tetuan Lim Wei Jiet yang dibangunkan pada Jun lalu di Kuala Lumpur dengan modal berbayar RM20,000.

Selain itu, turut diisytiharkan sebuah kondominium di Petaling Jaya, Selangor dengan anggaran nilai RM319,500 pasaran semasa serta 50 peratus pemilikan kediaman terbabit.

"Saya tidak mempunyai jam tangan mewah, perhiasan emas dan kereta mewah, ini semua hasil usaha saya sebagai seorang peguam.

"Saya dilahirkan dalam keluarga pertengahan dan tidak mewarisi harta yang banyak," katanya ketika ditemui selepas sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebooknya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Wei Jiet turut agar mencabar semua calon tidak mengira parti politik terutama di Parlimen Tanjung Piai mengisytiharkan harta yang dimiliki untuk pengetahuan rakyat.

"Saya mencabar calon yang bertanding di Parlimen Tanjung Piai untuk mengisytiharkan harta masing-masing supaya rakyat dapat nilai keikhlasan mereka.

"Sudah tentu pengisytiharan harta ini cukup penting untuk integriti calon yang bertanding pada PRU15 seterusnya bebas rasuah," katanya.

Pada PRU15, Wei Jiet menghadapi saingan tiga penjuru daripada calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon Perikatan Nasional (PN), Kol (PA) Najwah Halimah Ab Halim di Parlimen Tanjung Piai.

Sebelum itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebooknya pada Khamis, berkata semua calon daripada Muda yang bertanding dalam PRU15 akan turut mengisytiharkan harta masing-masing dalam masa terdekat.