Syed Saddiq isytihar harta bernilai RM1.9 juta

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih berjumlah RM1.9 juta

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan kerusi Parlimen Muar berkata, pengisytiharan harta itu membabitkan aset dimilikinya setakat 30 September lalu dan ia dilakukan mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Katanya, kebanyakan aset berkenaan diperolehi dalam tempoh sebelum dan selepas beliau menyertai politik serta semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Jumlah diisytiharkan itu termasuk wang tunai bernilai lebih RM45,000 serta pelaburan lain berjumlah RM1.2 juta.

Beliau turut memiliki sebuah sebuah motosikal jenis Yamaha NVX bernilai RM8,500, komitmen membiayai kenderaan milik abangnya jenis Honda City berjumlah RM757 sebulan dan sebuah basikal terpakai jenis Pinarello berharga RM8,000.

Turut diisytiharkan termasuk pemilikan sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur bernilai RM880,000 yang masih dalam pembinaan dan pegangan pemilikan sebanyak 50 peratus bagi rumah keluarga di Elmina, Shah Alam, Selangor.

Pada masa sama, beliau turut memiliki dua ekor kucing bernama ‘Toby’ dan ‘Meow Meow’ yang disifatkannya sebagai tidak ternilai selain turut memaklumkan dirinya tidak mempunyai sebarang aset, akaun bank di luar negara, tanah, baju serta jam mahal.

“Sepanjang saya menteri juga, tiada seorang pun ahli keluarga saya dapat sebarang kelebihan, malah tender projek kementerian dibuat secara terbuka," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebooknya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga merupakan penyandang Parlimen Muat turut menggesa semua bekas menteri untuk mengisytiharkan harta masing-masing untuk pengetahuan rakyat.

"Sebab itu isytihar harta ini penting supaya rakyat tahu dari mana terima dana, apakah datang daripada pemberian kontrak, daripada jawatan menteri, daripada kerajaan, semua ini dapat dikesan. Kalau kita masuk politik untuk dapat kontrak, jangan masuk politik.

"Saya tahu selepas ini akan ada orang kritik dan saya menerima kritikan dengan hati terbuka, cadangan dengan hati terbuka, cuma saya berharap kritikan dan cadangan ini disampaikan juga kepada sahabat lain untuk isytihar aset dan harta mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, semua calon daripada Muda yang bertanding dalam PRU15 akan turut mengisytiharkan harta masing-masing dalam masa terdekat.

“Saya calon pertama, untuk calon Muda lain, nanti mereka akan mula isytihar satu persatu,” katanya.