Sanusi tegaskan tiada keperluan rombak Exco

PEDU - Kerajaan Negeri Kedah tidak mempunyai keperluan untuk melakukan rombakan barisan Exco, termasuk menggugurkan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan perkembangan di Kelantan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini, pentadbiran negeri berjalan lancar dan tiada ketetapan mahupun arahan dikeluarkan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan tindakan sedemikian diambil.
Menurutnya, situasi di setiap negeri berbeza dan beliau mempunyai pendekatan tersendiri dalam urusan pentadbiran Kedah.

“Tak sama. Suasana antara negeri tak sama. Saya berpandangan ikut negeri masing-masinglah, mungkin ada keperluan di sana (Kelantan) namun di sini (Kedah) tak ada keperluan untuk rombak barisan Exco.
“Kita dalam konteks Kedah, kita buat cara Kedah. Tak ada masalah, tak perlu gugur, tak payah lantik apa-apalah. Kita kekalkan yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek peningkatan kemudahan pelancongan Mong Gajah, di pinggir Tasik Pedu, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, tindakan merombak barisan Exco tanpa keperluan hanya akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri.
“Kalau punggah, nak kena punggah daripada bawah sampai atas. Keadaan akan jadi teruk. Buat apa cari kerja? Tak ada kerja cari kerja, kerja lain banyak lagi.
“Kita tak ada masalah di Kedah, dan kita tenang saja. Di Kedah pun tak ada isu berbangkit. Jadi kita ‘maintain’ macam inilah...Alhamdulillah, semua orang buat kerja dengan baik, yang penting kita tengok prestasi,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Kamaruddin Md Noor, tidak disambung pelantikan sebagai Exco berkuat kuasa 9 November lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

