Penjawat awam Sarawak bakal raih manfaat dana kekayaan berdaulat

Abang Johari - Foto Bernama
Abang Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Penjawat awam Sarawak bakal meraih manfaat daripada dana kekayaan berdaulat yang akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri menerusi satu rang undang-undang, djangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri bulan ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis berkata, faedah yang ditawarkan kepada kakitangan perkhidmatan awam menerusi dana itu akan mengambil kira syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bercakap ketika melancarkan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini, beliau berkata, walaupun sebelum ini beliau menyatakan kemungkinan untuk meningkatkan kuantum gaji petugas perkhidmatan awam, perkara itu perlu dikaji dengan teliti.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan sewenang-wenangnya mewujudkan jawatan atau sistem penggajiannya sendiri serta faedah pencen, tanpa mengikut ketetapan di bawah perkhidmatan awam Persekutuan, memandangkan semua jawatan berpencen adalah di bawah bidang kuasa JPA.

"(Namun) saya akan memperkenalkan dana kekayaan berdaulat kita yang turut meliputi dana wakaf dan saya harap jika kita dapat pulangan yang baik, ekonomi kita kukuh, kedudukan kewangan kukuh, pastinya kita boleh kongsikan faedah itu dengan penjawat awam. Itu niat saya. Doa saja,” katanya.

Abang Johari berkata, hasrat kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kuantum gaji penjawat awam adalah sebagai satu cara menghentikan rasuah, seperti yang diamalkan di Singapura.

"Gaji penjawat awam tidak cukup untuk menampung kenaikan kos sara hidup, meningkatkan kecenderungan mereka meminta upah tambahan, ‘duit bawah meja’, menyalah guna kuasa dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah, antaranya, termasuk menubuhkan Unit Audit Dalam di bawah Unit Integriti dan Ombudsman, Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, serta mewajibkan semua agensi mempunyai unit integriti dan sekurang-kurangnya seorang Pegawai Integriti Bertauliah (CelO).

Artikel Berkaitan:

Dengan adanya seramai 1,806 CelOs terlatih dan 79 daripada mereka dilatih di luar Malaysia, berserta langkah dan mekanisme lain yang telah dijalankan untuk mencegah rasuah serta memperkasa integriti, Abang Johari percaya ia dapat membina keyakinan masyarakat, seterusnya membolehkan lebih banyak pelaksanaan projek kerajaan.

"Saya bangga menyatakan bahawa Sarawak telah membina asas yang kukuh dengan objektif yang jelas dalam menangani (masalah) rasuah, tadbir urus dan integriti,” katanya. - Bernama