Tak semua penjawat awam kaki ponteng - Cuepacs

ADNAN MAT
ADNAN MAT
A
A
A

SHAH ALAM - Kes tata tertib membabitkan ponteng atau tidak hadir bertugas seperti didedahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak menggambarkan keseluruhan sikap penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, jumlah mereka yang dikenakan tindakan terlalu sedikit berbanding kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang ada ketika ini.

Beliau menegaskan, integriti penjawat awam ketika ini dilihat semakin bertambah baik selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan awam.

"Usaha meningkatkan integriti dan disiplin ini juga disokong sepenuhnya oleh penjawat awam melalui dasar transformasi perkhidmatan awam yang dilakukan kerajaan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berkualiti.

"Ini kerana berdasarkan statistik SPA pada 2020, seramai 117 orang dikenakan tindakan tata tertib, tetapi berkurangan kepada 83 (2021) dan 51 (2022)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman, sebelum ini mendedahkan, bahawa ponteng kerja atau tidak hadir bertugas menjadi kesalahan paling 'popular' dilakukan penjawat awam.

Beliau berkata, sikap culas sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Cuepacs mengambil maklum mengenai laporan tindakan tata tertib yang dikenakan kepada penjawat awam dalam tempoh tiga tahun seperti yang didedahkan SPA.

Katanya, dalam hal ini, Cuepacs berterima kasih kepada SPA atas laporan terbabit yang jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah berkompromi atau menyembunyikan salah laku membabitkan anggotanya.

"Sememangnya terdapat penjawat awam yang bermasalah dan tindakan tata tertib, termasuk disingkirkan daripada perkhidmatan sewajarnya diambil oleh kerajaan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar ingin memberikan perkhidmatan terbaik berada dalam perkhidmatan.

"Ia suatu usaha yang jelas untuk memastikan penjawat awam kekal berdisiplin dan relevan sepanjang masa dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara dan rakyat," ujarnya

Justeru, beliau mengingatkan penjawat awam supaya melihat semula aku janji yang pernah dilafazkan sebelum ini dan ia perlu dikekalkan sepanjang dalam perkhidmatan.

"Rakyat sentiasa memandang dan menilai setiap apa yang dilakukan dan ia akan memberi kesan kepada keseluruhan perkhidmatan awam walaupun jumlah pesalah integriti itu hanya seorang," kata Adnan.

Beliau berkata, Cuepacs turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terus menghukum atau membuat tanggapan buruk kepada keseluruhan penjawat awam hanya disebabkan segelintir yang membuat kesalahan.