LRT tergendala: Prasarana umum 4 inisiatif untuk pengguna

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Azharruddin
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Azharruddin
A
A
A

PETALING JAYA - Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan empat inisiatif diambil bagi memudahkan pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) di beberapa stesen yang terjejas susulan gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) bermula Selasa hingga 15 November ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Azharruddin Mat Sah berkata, empat inisiatif itu adalah menyediakan tambahan bas perantara dan kakitangan sokongan di stesen bagi mengawal pergerakan.

Menurutnya, turut dilaksanakan adalah tambang percuma kepada penumpang terjejas dan kemas kini status terkini kerja-kerja penyelenggaraan.

“Berkenaan tambahan pas perantara, secara keseluruhan terdapat lebih 100 bas disediakan. Ia termasuk juga pihak kami turut menerima tambahan 20 bas sokongan daripada kerajaan Selangor.

“Pihak kami juga menambah jumlah kakitangan iaitu seramai 80 orang di stesen-stesen terjejas untuk melancarkan pergerakan pengguna termasuk memberi panduan kepada mereka untuk menaiki bas perantara.

“Selain itu, pengguna LRT laluan Kelana Jaya yang terjejas juga akan menerima pampasan iaitu tambang percuma untuk setiap hari sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut tergendala,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Rapid Rail Subang di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Rapid KL memaklumkan sebanyak 16 stesen LRT dari stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula Rabu hingga 15 November depan.

Antara stesen terlibat adalah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi dan Bangsar.

Artikel Berkaitan:

Stesen lain yang terjejas adalah Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Mohd Azharruddin berkata, inisiatif lain yang turut diambil pihaknya adalah dengan sentiasa mengemaskini kerja-kerja baik pulih sistem yang tergendala tersebut.

Tambah Mohd Azharruddin, beliau menyedari kesulitan yang dialami ramai pengguna pengangkutan awam tersebut susulan tindakan yang diambil pihaknya untuk menggantung sementara operasi.

Bagaimanapun katanya, keputusan penting itu perlu diambil kerana keselamatan pengguna adalah menjadi keutamaan pihaknya bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.