Harga MSM dijangka kekal melebihi RM4,000 satu tan

Harga minyak sawit mentah diunjurkan kekal pada paras melebihi RM4,000 satu tan sehingga suku pertama 2023. (Gambar hiasan)
Harga minyak sawit mentah diunjurkan kekal pada paras melebihi RM4,000 satu tan sehingga suku pertama 2023. (Gambar hiasan)
A
A
A

HARGA minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan kekal pada paras melebihi RM4,000 satu tan dalam beberapa bulan akan datang dan mungkin sehingga suku pertama 2023, disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan jangka pendek selain daya saing harga, menurut penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Bank pelaburan itu menjelaskan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai bekalan sawit jangka pendek yang lebih rendah adalah disebabkan kitaran pengeluaran minyak sawit yang rendah secara bermusim dan permulaan La Nina.

"Tebaran minyak sawit-minyak gas (POGO) yang menggalakkan dan diskaun meluas MSM berbanding minyak kacang soya akan menggalakkan penggunaan minyak sawit.

"Momentum meningkat harga MSM juga akan dirangsangkan oleh ketidaktentuan mengenai masa depan koridor bijirin Laut Hitam yang akan tamat pada 19 Nov, 2022, dan keredaan kebimbangan berhubung simpanan stok minyak sawit Indonesia,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Bank pelaburan itu bagaimanapun yakin harga MSM akan berada dalam aliran turun mulai suku kedua 2023 berikutan kebolehlihatan bekalan yang lebih baik untuk minyak sayuran berikutan kekurangan buruh di Malaysia semakin dapat ditangani serta cuaca normal.

Penyelidikan bank pelaburan itu juga menambah, harga juga akan diseret turun oleh peningkatan risiko kemelesetan global dan pertambahan inventori di negara pengimport utama minyak sawit.

"Kami merendahkan jangkaan harga MSM kami bagi 2022 dan 2023 kepada RM5,050 satu tan berbanding RM5,500 satu tan serta RM4,000 satu daripada RM4,500 satu tan sebelum ini, terutama untuk mencerminkan harga MSM yang lebih rendah pada suku ketiga 2022 dan kebolehlihatan bekalan yang lebih baik selain ketiadaan pemangkin permintaan,” menurutnya.

HLIB menjelaskan jangkaan harga MSM bagi 2024, sebaliknya, kekal tidak berubah pada RM3,800 satu tan.

Artikel Berkaitan:

Jangkaan perolehan yang diraih penanam individu, susulan jangkaan harga MSM yang lebih rendah, akan disemak pada musim pelaporan prestasi kewangan akan datang, tambahnya.

Penyelidikan HLIB memberikan penarafan ‘overweight’ iaitu menjangkakan sektor perladangan mengatasi pasaran dalam tempoh 12 bulan akan datang, disokong oleh penilaian yang memberangsangkan.

Kaunter pilihan utama untuk sektor perladangan ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan IOI Group. - Bernama