RM4,000 bagi biaya peserta program Daya Kerjaya TVET

Mustapha ketika berucap semasa Majlis Iftar Perkeso 2023.
Mustapha ketika berucap semasa Majlis Iftar Perkeso 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Perantis Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta lepasan sekolah yang menganggur sekurang-kurangnya 30 hari berpeluang mendapat pembiayaan sehingga RM4,000 di bawah program Daya Kerjaya TVET.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, program di bawah Insentif Kerjaya Madani 2023 itu menyasarkan sebanyak 17,000 permohonan.`

Jelas beliau, beberapa inisiatif lain turut diperkenalkan sebagai usaha memperkasa pasaran buruh tempatan antaranya termasuk program Daya Kerjaya dan Bina Kerjaya.

“Program Daya Kerjaya memberikan insentif kewangan kepada majikan yang mengambil pekerja belia mulai 1 Januari, individu menganggur, golongan rentan seperti Orang Asli, wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol, bekas banduan, dan graduan TVET atau lepasan sekolah yang menganggur lebih dari 30 hari.

“Majikan boleh membuat permohonan mulai 1 April 2023. Program ini menyasarkan 58,000 pengambilan pekerja oleh majikan yang akan menerima insentif sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh tiga bulan bagi setiap pekerja yang digajikan,” katanya semasa Majlis Iftar Perkeso 2023 pada Khamis.

Mustapha menambah, bagi program Bina Kerjaya pula, ia memfokuskan usaha meningkatkan potensi individu bekerja sendiri dalam sektor informal untuk memperoleh pekerjaan formal akan dilaksanakan melalui pengajian sama ada di institusi awam atau swasta yang diiktiraf.

“Kadar bayaran latihan yang dibiayai di bawah program ini adalah sehingga RM4,000 manakala elaun sebanyak RM300 sebulan disediakan bagi tempoh maksimum tiga bulan. Sebanyak 30,000 permohonan disasarkan untuk program ini,” ujarnya.

Kata beliau, sebanyak RM313 juta diperuntukkan bagi membiayai ketiga-tiga inisiatif berkenaan yang diselia di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mustapha turut menyatakan pemerkasaan pasaran buruh di bawah Belanjawan 2023 turut melibatkan Elaun Mobiliti dan Pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh Malaysia yang akan dilaksanakan Perkeso secara berperingkat.

“Sehingga hari ini, sebanyak 292 buah Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara telah dibangunkan bagi memperluaskan akses peluang pekerjaan kepada para pencari kerja.

“Daripada jumlah tersebut, 13 buah pusat satelit ditempatkan di UTC,” ujarnya.

Jelas beliau, kesemua inisiatif itu adalah bukti Perkeso sentiasa sedaya upaya memperkasa pasaran buruh negara dan kesejahteraan rakyat.