Zuckerberg umum lebih 11,000 staf Meta diberhentikan

Mark Zuckerberg - Foto AFP
Mark Zuckerberg - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - "Pemilik Facebook iaitu syarikat Meta akan memberhentikan lebih 11,000 kakitangannya dalam perubahan paling sukar yang kami buat dalam sejarah Meta," kata Mark Zuckerberg pada Rabu.

Beliau berkata, pemotongan itu mewakili 13 peratus daripada tenaga kerja media sosial itu dan akan menjejaskan makmal penyelidikannya yang memfokuskan kepada teknologi metaverse serta aplikasinya, termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Industri teknologi berada dalam kemerosotan yang serius dan beberapa firma utama telah mengumumkan pemberhentian kakitangan secara besar-besaran,

Sebelum ini, pemilik baharu Twitter, Elon Musk memecat separuh kakitangannya pada minggu lalu.

"Saya mahu mengambil tanggungjawab untuk keputusan ini dan bagaimana kami sampai di sini.

"Saya tahu ini sukar untuk semua orang, dan saya amat memohon maaf kepada mereka yang terjejas," kata Zuckerberg menerusi nota kepada kakitangan.

Platform yang disokong iklan seperti Facebook dan Google 'menderita' dengan pengiklan yang ingin mengurangkan kos kerana bergelut dengan inflasi dan kenaikan kadar faedah.

Zuckerberg memberitahu seramai 87,000 kakitangannya bahawa beliau telah menjangkakan peningkatan dalam e-dagang dan aktiviti dalam talian semasa pandemik Covid-19 akan berterusan tetapi menambah: "Saya tersilap, dan saya bertanggungjawab untuk itu."

Langkah-langkah itu juga merupakan mesej kepada Wall Street yang mana prestasi buruk syarikat telah menyebabkan harga saham Meta menjunam sebanyak 70 peratus sejak awal tahun ini.

Langkah pada Rabu disambut baik oleh pelabur dengan saham Meta menunjukkan keuntungan besar iaitu peningkatan hampir enam peratus sebelum loceng penutupan di New York.

Kemelesetan itu telah menjejaskan syarikat di seluruh sektor dengan Apple dan Amazon juga baru-baru ini mengumumkan keputusan yang mengecewakan pelabur. - AFP