Rafizi nafi tidak sehaluan dengan Anwar

Rafizi memberikan ceramah semasa berkempen untuk PRU15 di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru, pada Selasa.
Rafizi memberikan ceramah semasa berkempen untuk PRU15 di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan dakwaan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa beliau tidak sefahaman selain kenyataannya bercanggah dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor itu, dakwaan tersebut tidak benar apabila Hishammuddin merujuk kepada jumlah perbezaan kerusi yang boleh dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, beliau kekal konsisten dengan kenyataan sebelum ini bahawa PH kini berada dalam keadaan baik dan boleh menang 80 kerusi Parlimen ke atas.

"Saya cakap berdasarkan kedudukan parti bahawa kita boleh menang 80 kerusi, kalau buat kerja lebih kuat dan lebih mendekati rakyat, kita boleh menang hingga 100 kerusi.

"Jadi, betullah Datuk Seri Anwar kata kita boleh menang 100 kerusi. Tidak timbul isu tidak bersefahaman antara kami seperti dikatakan Hishammuddin di Parlimen Sembrong semalam.

"Saya nak beritahu kepada Hishammuddin, PH menang 80 kerusi ke, 100 kerusi ke, jumlah yang akan dimenangi PH adalah lebih banyak daripada kerusi BN," katanya pada pemberita selepas program sembang santai bersama masyarakat di Taman Ehsan Jaya, di sini pada Selasa.

Rafizi (kanan) bersama calon Parlimen Tebrau, Jimmy Puah.
Rafizi (kanan) bersama calon Parlimen Tebrau, Jimmy Puah.

Turut hadir, calon PH bagi kerusi Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang juga Naib Presiden PKR Johor.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Hishammuddin mendakwa Rafizi dan Anwar tiada persefahaman apabila wujud perbezaan jangkaan antara kedua-dua ahli politik tersebut berhubung jumlah kerusi yang boleh dimenangi PH pada PRU15.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sasaran 100 kerusi itu mampu dicapai sekiranya jentera parti berkempen dengan lebih baik dan mendekati seberapa ramai pengundi untuk menyampaikan perancangan PH kepada rakyat dalam tempoh dua minggu ini.

Berdasarkan analisisnya kata beliau, dalam keadaan sekarang, tidak ada tanda-tanda satu gabungan politik akan menang besar pada PRU kali ini dan seterusnya membentuk kerajaan.

"Kalau PH menang 80 kerusi, Kita perlu berusaha sedikit untuk berunding dengan parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan. Jika menang lebih besar, peluang tinggi untuk membentuk kerajaan yang lebih kuat.

"Jika menang 100 kerusi, kita akan menjadi lagi stabil dan negeri Johor menjadi yang paling penting kerana menawarkan kerusi terbanyak di Semenanjung," ujar beliau.