'Muhyiddin masih berdendam, minta ahli UMNO undi PN'

Othman (kiri) ketika meninjau masalah bekalan air di Kampung Pulai, pada Selasa.
Othman (kiri) ketika meninjau masalah bekalan air di Kampung Pulai, pada Selasa.
A
A
A

JERLUN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa masih menyimpan dendam lama terhadap UMNO apabila meminta ahli parti itu mengundi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, pihak terbabit pada suatu ketika cuba mengharamkan UMNO dan mengajak ahli parti berkenaan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelasnya, ahli UMNO bagaimanapun tetap kental dengan tindakan pihak terbabit apabila tiada satu cawangan parti itu ditutup kerana ahlinya menyertai parti lain.

Mereka masih ada dendam yang belum padam dan mahu kuburkan UMNO, Jadi senang mereka ambil ahli kita, tetapi itu tidak berlaku.

"UMNO setiap tahun masih boleh mengadakan persidangan peringkat bahagian serta cawangan dan Perhimpunan Agung masih boleh diadakan.

"Perbuatan meminta ahli UMNO mengundi PN adalah retorik kerana mereka dahulu juga dari UMNO. Ketika mereka berada di pucuk pimpinan UMNO, mereka sepatutnya bawa parti ke tahap lebih baik, tetapi mereka tidak buat kerja pada waktu ini dan hari ini minta ahli UMNO undi mereka pula," katanya ketika meninjau masalah penduduk di beberapa kampung di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Muhyiddin ketika ceramah umumnya di Pendang, meminta ahli UMNO yang tidak suka dengan apa dilakukan pemimpin tertingginya mengundi calon PN tanpa perlu meninggalkan parti itu, demi menyelamatkan negara.

Mengulas lanjut, Othman yang juga calon BN bagi Parlimen Jerlun berkata, PRU15 adalah peluang terbaik kepada ahli mengembalikan maruah UMNO bagi membolehkan parti itu membentuk kerajaan pusat baharu, sekali gus memastikan kestabilan negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap ahli UMNO membuat keputusan tepat pada PRU15 kali ini, bagi memastikan kerajaan baharu yang bakal dipilih mampu membawa kemakmuran kepada negara," katanya.