Tiada ahli UMNO keluar parti selepas Konvensyen Perpaduan

Ahmad (empat dari kiri) hadir majlis Sambutan Aidilfitri Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pontian, pada Selasa.
Ahmad (empat dari kiri) hadir majlis Sambutan Aidilfitri Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pontian, pada Selasa.
A
A
A

PONTIAN - Dakwaan ramai ahli akan meninggalkan UMNO kerana pemimpin DAP masuk ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, Ahad lepas disifatkan tidak berasas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan tersebut bertujuan memecahbelahkan perpaduan UMNO yang kini mempunyai semangat baharu sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan

"DAP hanya sebahagian daripada 19 parti yang hadir. Mereka yang tidak berada di dalam dewan itu tidak dapat menerima gambaran penuh.

"Sebenarnya satu penghormatan pada UMNO apabila lawan akhirnya jadi kawan di dewan yang bersejarah itu.

"Sepatutnya tidak timbul dakwaan seperti itu, kerana ahli-ahli DAP yang hadir merupakan sebahagian peserta Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Melayu, Cina India mahupun suku kaum dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Aidilfitri Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pontian di sini, pada Selasa malam.

Sebelum itu, Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa menyatakan lebih ramai ahli UMNO akan menolak parti itu selepas Dewan Merdeka dimasuki pemimpin DAP.

Dewan Merdeka dianggap sebagai lokasi istimewa bagi ahli UMNO yang juga merupakan tempat berlangsungnya perhimpunan agung parti itu.