'Saya wakil Orang Asli, tapi boleh jaga semua bangsa'

Teratai (kanan) mendengar luahan penduduk semasa turun padang berkempen di Chenderiang.
Teratai (kanan) mendengar luahan penduduk semasa turun padang berkempen di Chenderiang.
A
A
A

TAPAH - Calon Bebas, Teratai Bah Arom akan melakukan sebaik mungkin dalam memperjuangkan nasib masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang termasuk masalah yang membelenggu Orang Asli.

Menurutnya, penglibatan dalam kancah politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membuktikan kaumnya sentiasa ada keberanian dalam mengetengahkan perkara berbangkit tanpa melalui orang tengah.

"Siapa kata Orang Asli tak boleh berpolitik. Penyertaan saya calon Orang Asli sebagai tiket Bebas adalah yang pertama di Perak. Seingat saya, pernah ada calon tapi mewakili tiket parti-parti sedia ada.

"Penerimaan masyarakat kepada saya begitu baik. Tidak kira Melayu, India dan Cina semuanya positif.

"Saya wakil masyarakat Orang Asli, tetapi boleh menjaga semua bangsa hidup harmoni sesama kita. Perkongsian adalah kebahagiaan, saling mengenali dan bertoleransi," katanya.

Teratai, 42, juga mengakui individu yang menjadi tulang belakangnya untuk tampil ke depan adalah suaminya.

"Semangat itu saya akan bawa bagi berjumpa orang ramai dan menerangkan apa matlamat saya bawakan sepanjang PRU15.

"Sebagai anak tempatan, saya memohon dengan rendah diri agar semua penduduk memberi peluang kepada saya untuk mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri Perak mewakili DUN Chenderiang ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Teratai berkata, isu yang diberi penekanan adalah pencerobohan tanah, ekonomi tempatan dan tahap pendidikan masyarakat di DUN Chenderiang.

Katanya, isu pendidikan antara mendapat perhatiannya pada kempen kali ini yang perlukan jalan penyelesaian.

"Ada sesetengah sekolah yang jauh dari pekan dan masuk ke kawasan dalam, tiada peralatan televisyen kepada pelajar untuk mereka belajar dengan selesa.

"Pendidikan anak Orang Asli ada rekod kedatangan yang baik cuma ada kekangan tertentu yang harus ditambah baik lagi," katanya yang memiliki Diploma Pengajian Perniagaan di UiTM.

DUN Chenderiang menjadi kerusi DUN yang paling ramai ditandingi pada PRU15 membabitkan tujuh calon.

Untuk rekod, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah penyandang DUN Chenderiang pada PRU14.