Sedia lantik wakil Pas jadi Menteri Besar di Perlis, Pahang

Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Peringkat Negeri Kedah di PCC, Pendang, pada malam Isnin.
Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Peringkat Negeri Kedah di PCC, Pendang, pada malam Isnin.
A
A
A

PENDANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia mempertimbangkan jawatan Menteri Besar kepada wakil Pas di Perlis dan Pahang sekiranya gabungan Perikatan Nasional (PN) menang di dua negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keterbukaan terbabit adalah atas prinsip kebersamaan antara parti dalam PN.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi PN memaklumkan, pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada Pas untuk menerajui Perlis dan Pahang.

“Gabungan Pas dengan Bersatu sudah cukup kukuh. Saya fikir di Kedah, bagaimana di juga di Kelantan dan Terengganu (kukuh). Saya tengok trend kebelakangan ini, insya-ALLAH Perlis pun boleh jatuh ke tangan kita.

“... Dan Pas akan jadi Menteri Besar di Perlis, kami sokong. Saya pergi ke Pahang, Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) ada dekat situ, dia bertanding Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Sekiranya, menang di Pahang, maka Tuan Ibrahim akan menjadi Menteri Besar di sana," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Peringkat Negeri Kedah di Pendang Convention Centre (PCC), di sini, pada malam Isnin.

Beliau berkata, PN mahupun Bersatu tidak memiliki masalah untuk menyerahkan Perlis dan Pahang untuk ditadbir Pas.

“Kami dalam Bersatu tidak kisah, Pas memimpin kita akan sokong sepenuh-penuhnya dan yang penting adalah PN menguruskan negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, manifesto dilancarkan PN merupakan bukti komitmen parti terbabit terhadap rakyat Malaysia bahawa gabungan itu bersungguh-sungguh untuk mentadbir negara sebagai sebuah kerajaan.

“Insya-ALLAH, kita berdoa dalam tempoh seminggu ataupun kurang dari dua minggu yang berbaki ini, akan ada satu gelombang besar dan tsunami yang membersihkan negara dari puak-puak yang membawa rasuah, salah guna kuasa,” katanya.