PRU15: Dua ditahan kes ugut, bakar khemah

Hazani
Hazani
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak empat kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka dan dua lelaki ditahan menjelang hari ketiga kempen pada Isnin.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, dua kertas siasatan dibuka di Kedah manakala satu di Perak dan Terengganu.

"Kes pertama di Kedah melibatkan seorang pengadu lelaki tempatan mendapati khemah pusat mengundi di Tapak Mahlus Taman Cili, Lunas, Kedah telah dibakar dan bendera komponen BN dibuang ke dalam longkang.

"Seorang lelaki tempatan telah ditahan bagi kes ini di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Tempoh reman akan dimohon pada Selasa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hazani berkata, kes kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi melibatkan mangsa iaitu ketua cawangan pusat mengundi Pulau Tuba yang menerima ugutan menerusi panggilan telefon.

"Suspek mengugut akan menumbuk mangsa jika terjumpa mangsa di luar atau semasa berkempen.

"Seorang lelaki tempatan telah ditangkap dan permohonan reman akan dibuat pada Selasa," katanya.

Beliau berkata, kes ketiga melibatkan laporan dibuat seorang lelaki tempatan mendakwa rakaman video ucapan dibuat calon Perikatan Nasional, Razman Zakaria di Tapak Pasar Hari Tebuk Panchor, Kerian, Perak mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat terhadap pemimpin Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes keempat melibatkan seorang lelaki tempatan membuat aduan selepas mendapati dua kain rentang di Simpang Tiga, Tol Chukai, Kemaman, Terengganu digantung bertujuan memalukan calon BN.

"Kain rentang yang digantung memaparkan gambar calon P040 BN dengan perkataan cabul kehormatan (cekor)," jelasnya.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat bagi kedua-dua kes di Perak dan Terengganu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.