Padah buat wheelie, dua lelaki ditahan

Polis Temerloh menerusi BSPT melakukan operasi di sekitar beberapa lokasi di Temerloh pada awal pagi Ahad.- Foto Ihsan PDRM
Polis Temerloh menerusi BSPT melakukan operasi di sekitar beberapa lokasi di Temerloh pada awal pagi Ahad.- Foto Ihsan PDRM
A
A
A

TEMERLOH - Tindakan dua lelaki berusia 17 dan 22 tahun menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya iaitu secara 'wheelie' mengundang padah apabila mereka ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Ahad.

Dua lelaki tersebut dikesan hasil Op Samseng Jalanan di kawasan Lurah Semantan, Jalan Ahmad Shah, Jalan Tun Ismail dan Jalan Pak Sako yang bermula jam 1.30 dan berakhir pada 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, sebanyak 300 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi tersebut.

"Daripada jumlah tersebut, 51 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur asal.

"Sebanyak 251 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan iaitu kesalahan utama tiada lesen memandu (36)," kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, operasi tersebut turut dibantu sepasukan pegawai dan anggota BSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Unit Ronda Bermotosikal (URB) IPD Temerloh, Balai Polis Temerloh dan Mentakab.

"Operasi ini menyasarkan penunggang motosikal kerana terdapat banyak aduan berkaitan salah laku penunggang terutama melibatkan pengubahsuaian ekzos dan lumba haram," jelas Mohd Azhar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu operasi itu bertujuan untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang serta mendidik pengguna supaya lebih berdisiplin dan berhemah semasa memandu.