Proses bawa balik jemaah terkandas bergantung kepada dana

Saifuddin sedang menyantuni pengundi di kawasan Parlimen Indera Mahkota pada Selasa.
Saifuddin sedang menyantuni pengundi di kawasan Parlimen Indera Mahkota pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - [KEMAS KINI] Baki 23 daripada 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi akan dibawa balik secara berperingkat bergantung kepada dana.

Menteri Luar negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sumber dana itu bagi urusan pembelian tiket.

Menurutnya, empat rakyat negara ini selamat tiba pada Isnin, selepas 36 orang iaitu kumpulan pertama tiba di negara ini pada 4 Oktober lalu.

"Kementerian Luar, kita tidak terbabit kerana bantuan dana lebih kepada usaha yang dilaksanakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

"Jadi soal kewangan dan pembelian tiket, jika sumber itu cepat, tiket boleh dibeli dan mereka akan dibawa pulang. Kami lebih kepada membantu dalam urusan dengan Kerajaan Arab Saudi untuk membawa mereka pulang," katanya ketika pemberita di Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Idris memaklumkan proses membawa pulang baki jemaah Malaysia itu secara beransur-ansur.

Katanya, pihaknya turut mendapatkan kerjasama baik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu pembiayaan kos penerbangan pulang mereka.

Pada Oktober lalu, Wisma Putra dalam satu kenyataan mendedahkan seramai 63 jemaah umrah itu terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Kesemua jemaah sudah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu.

Bagaimanapun mereka hanya berada di Madinah dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang selepas ini.

Jelasnya, selama ini jemaah Malaysia mempunyai rekod yang baik dan Kerajaan Arab Saudi selalu memuji pengurusan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

"Saya berharap peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi sebab kita bimbang ia mencatatkan nama baik Malaysia di kaca mata kerajaan Arab Saudi," ujar beliau.