Pemuda UMNO gerakan tabung bantu jemaah umrah terkandas

Dr Akmal (dua dari kiri) menunjukkan gambar Kamis Ahmad yang masih ditahan di Hospital Al-Sheda Syarif Mansour,di Mekah.
Dr Akmal (dua dari kiri) menunjukkan gambar Kamis Ahmad yang masih ditahan di Hospital Al-Sheda Syarif Mansour,di Mekah.
A
A
A

JASIN - Pemuda UMNO akan menggerakkan tabung sumbangan bagi mengumpulkan dana membantu seorang jemaah umrah yang masih ditahan di Hospital Al-Sheda Syarif Mansour di Makkah.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tabung sumbangan membantu pesara kerajaan dari Felda Kemendor Jasin itu akan digerakkan di peringkat sayap-sayap dan bahagian setiap negeri supaya, Kamis Ahmad dapat dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Menurutnya, Kamis bersama isterinya, Jaliah Yusop dan ahli keluarga lain pergi mengerjakan umrah pada 5 Mac lalu sebelum dia diuji dengan kesihatan merosot sehari sebelum mereka pulang ke tanah air.

Jaliah menunjukkan gambar suaminya yang diuji masalah kesihatan sehari sebelum mereka pulang mengerjakan umrah pada Mac lalu.
Jaliah menunjukkan gambar suaminya yang diuji masalah kesihatan sehari sebelum mereka pulang mengerjakan umrah pada Mac lalu.

Beliau berkata, setakat ini keluarga terbabit berjaya mengumpul kira-kira RM15,000 daripada jumlah keseluruhan yang diperlukan iaitu RM150,000 bagi menjelaskan bayaran bil hospital selama berada di pusat perubatan tersebut.

"Jumlah bil hospital akan terus meningkat selagi warga emas itu tidak dikeluarkan dari hospital dan dibawa pulang ke tanah air.

"Kita merayu kepada semua rakyat Malaysia yang dermawan untuk menyumbang bagi tujuan membantu keluarga ini termasuk kos rawatan dan kos pengurusan membawa pulang jemaah itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks JAPERUN Merlimau pada Isnin.

Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, setakat ini jemaah itu dijaga dan dipantau oleh anak keduanya Muhammad Amirul Haziq berusia 30 tahun.

Tambahnya, segala wang sumbangan yang bakal diterima akan disalurkan terus kepada keluarga berkenaan supaya jemaah umrah itu dapat segera dibawa pulang ke pangkuan keluarga lebih-lebih lagi Syawal bakal menjelma tiba tidak lama lagi.

"Kita juga akan berjumpa Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan pihak kedutaan di sana, mungkin boleh buat satu jaminan jemaah itu dikeluarkan sementara kita mengumpul wang sumbangan itu.

"Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun bank Maybank 154035503088 atas nama Jaliah Yusop atau hubungi talian 013-7255212 untuk maklumat lanjut," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang jemaah umrah yang mengalami sesak nafas sehari sebelum berangkat pulang ke Malaysia masih ditahan di hospital Makkah ekoran masih belum melunaskan bil rawatan sepenuhnya.

Menurut perkongsian anaknya, Muhammad Amirul Haziq, bapanya, Kamis Ahmad dimasukkan ke hospital pada 13 Mac lalu dan terpaksa ditidurkan selama lapan hari.