Skandal barang kemas hadiah Arab Saudi

Set barang kemas bertatahkan berlian itu didakwa hadiah pemberian Arab Saudi kepada Bolsonaro dan isterinya, Michelle. - Foto Agensi
Set barang kemas bertatahkan berlian itu didakwa hadiah pemberian Arab Saudi kepada Bolsonaro dan isterinya, Michelle. - Foto Agensi
A
A
A

BRASILIA - Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro pada Rabu menafikan sebarang salah laku ketika disoal siasat polis persekutuan berhubung dakwaan cuba mengimport secara tidak sah barang kemas pemberian Arab Saudi bernilai kira-kira AS$3.2 juta (RM14.08 juta).

Dakwaan itu yang didedahkan pada bulan lalu telah mencetuskan siri siasatan dilancarkan ke atas beliau.

Bolsonaro, 68, menghadapi proses siasatan itu sekembalinya beliau ke ibu negara dari 'hidup dalam buangan' selama tiga bulan di Amerika Syarikat (AS) susulan kekalahan memalukan pada pilihan raya Oktober lalu.

Sumber kepada bekas pemimpin itu memaklumkan Bolsonaro yang disoal siasat selama kira-kira tiga jam menegaskan beliau tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah dan hanya mengetahui tentang barang kemas itu setelah ia dirampas pada Disember 2022.

Penasihat beliau, Fabio Wajngarten berkata, proses itu berjalan lancar.

"Ia adalah peluang terbaik kepada beliau untuk menjelaskan fakta," ujarnya menerusi Twitter.

Skandal itu terbongkar selepas akhbar Estado de Sao Paulo melaporkan pegawai kastam memintas bekas Menteri Tenaga dan Pelombongan, Bento Albuquerque ketika beliau cuba memasuki Brasilia dengan beg galas mengandungi barang kemas bertatahkan berlian dihasilkan firma mewah berpusat di Switzerland, Chopard setelah pulang dari lawatan di Riyadh pada Oktober 2021.

Laporan itu kemudiannya mendedahkan Bolsonaro juga menyembunyikan set barang kemas kedua Chopard tanpa berjaya dikesan pihak berkuasa.

Pada bulan lalu, hakim Mahkamah Akaun Persekutuan (TCU) yang mengawasi tabung kerajaan mengarahkan Bolsonaro dan Albuquerque untuk memberi keterangan bersumpah kepada penyiasat sama ada barang kemas mewah itu adalah hadiah peribadi atau pemberian kepada negara dan kenapa ia tidak diisytiharkan dengan betul.

Di bawah undang-undang Brazil, pegawai awam hanya boleh menyimpan hadiah peribadi dengan nilai yang minimum.

Selain itu, mana-mana individu yang memasuki Brasilia dengan barangan bernilai lebih AS$1,000 (RM4,399) juga dikehendaki mengisytiharkannya dan membayar cukai import yang tinggi. - AFP