36 daripada 63 jemaah umrah terkandas tiba di Malaysia

Kementerian sedang berusaha untuk membawa pulang 63 jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.- Gambar hiasan.
Kementerian sedang berusaha untuk membawa pulang 63 jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.- Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri sedang berusaha untuk membawa pulang 63 jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan kumpulan pertama seramai 36 jemaah umrah tersebut telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.50 pagi tadi, dan 27 jemaah lagi akan dibawa pulang menerusi penerbangan seterusnya.

"Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

"Ini adalah untuk memelihara hubungan dua hala yang akrab antara Malaysia dengan Arab Saudi, dan keistimewaan yang telah diberikan kepada Malaysia seperti kemudahan visa pelancong yang hanya diberikan kepada 49 negara sahaja,’’ menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu usaha tersebut dan kerajaan kekal komited untuk memastikan keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara melalui bantuan konsular berdasarkan kepada Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.

"Warganegara Malaysia adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara,’’ menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sebelum ini, Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan seramai 63 jemaah umrah negara ini yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.

Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas, namun mereka hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas. - Bernama.

Artikel Berkaitan: