Ganjaran wang lapor perokok di premis makanan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEUSAI penamaan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, kehidupan malam di bandar-bandar semakin meriah dengan aktiviti ‘melepak’ terutama di restoran-restoran mamak.

Mengambil contoh terdekat iaitu di Shah Alam, Selangor, rata-rata restoran itu boleh dikatakan fullhouse dengan kehadiran pelanggan.

Mungkin juga situasi sama berlaku di lokasi atau negeri lain.

Cuma apa yang kurang menariknya, aktiviti merokok atau vape di premis makanan semakin rancak, sama seperti rancaknya perjalanan menuju tarikh keramat PRU15 pada 19 November ini.

Walhal di setiap dinding atau tiang di restoran itu terpampang dengan jelas amaran larangan merokok, selari dengan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Amaran itu cukup jelas dan amat mudah difahami, cuma ia seolah-olah tidak membawa sebarang makna atau memberi kesan kepada si pelaku.

KKM sebelum ini telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan dan diikuti dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.

Pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan individu didapati merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat makan boleh dikenakan kompaun RM250.

Artikel Berkaitan:

Namun, selepas lebih dua tahun pelaksanaannya, ditambah setahun tempoh ‘pendidikan’, ternyata program itu gagal memberi kesedaran kepada perokok kerana kejadian tersebut kerap dilihat berlaku.

Pemilik restoran juga boleh dikatakan gagal memainkan peranan dan langsung tidak berani untuk menegur kerana lebih memikirkan soal keuntungan semata-mata.

Kalau ditegur risau kehilangan pelanggan.

Jadi, KKM ketika ini bukan sekadar perlu meningkatkan pemantauan di setiap premis makanan, bahkan perlu mengambil tindakan lebih drastik seperti mewajibkan restoran mempamerkan nombor aduan untuk melaporkan aktiviti perokok.

Atau dengan cara lebih berkesan, pengadu yang membuat aduan tentang aktiviti merokok perlu diberikan ganjaran berbentuk wang supaya masing-masing berlumba untuk melaporkan aktiviti merokok di premis makanan.

Mungkin itu sahaja cara ‘kamikaze’ yang boleh dilakukan untuk memastikan tiada lagi aktiviti merokok atau vape di premis makanan.

Orang kita sudah tentunya tertarik dengan ganjaran ditawarkan.