63 jemaah umrah terkandas diberi pemulihan, kaunseling

Idris menyantuni peniaga di Pasar Lama Bagan Serai sempen kempen PRU15.
Idris menyantuni peniaga di Pasar Lama Bagan Serai sempen kempen PRU15.
A
A
A

BAGAN SERAI - Semua 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas akan diberi pemulihan dan kaunseling sebaik mereka kembali ke tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, semua jemaah yang dibawa mengerjakan ibadah umrah melalui kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah itu perlu dibantu agar tidak terus terpesong dan dapat kembali kepada landasan Islam sebenar.

"Ajaran itu sebelum ini sudahpun diberikan fatwa. Oleh kerana ia bertapak di Negeri Sembilan dan dinyatakan membawa ajaran tidak benar, maka orang-orang ini perlu dipulihkan.

"Mana-mana ajaran sekalipun yang tidak betul, kita akan pulihkan mereka, beri kembali keyakinan kepada mereka.

"Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan majlis agama Islam di negeri masing-masing," katanya.

Idris
Idris

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersama masyarakat Cina di Pasar Lama Bagan Serai di sini pada Isnin.

Jumaat lepas, seramai 36 daripada 63 jemaah berkenaan telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sementara 27 jemaah lagi akan dibawa pulang menerusi penerbangan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sebelum ini, Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan seramai 63 jemaah umrah negara ini yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.

Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas, namun mereka hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Dalam perkembangan lain, Idris mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRU15 ini menghormati sensitiviti dengan tidak menyentuh isu agama ketika berkempen.

"Kita harapkan tidak akan ada isu-isu agama dibangkitkan. Kita kena hormat prinsip dan kontrak sosial yang terpakai sejak negara mencapai kemerdekaan lagi," katanya.

Pada PRU15 ini, Idris yang juga Naib Presiden Pas bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Bagan Serai.

Beliau berdepan persaingan empat penjuru bersama Siti Aishah Shaik Ismail (PH), Zul Helmi Ghazali (BN) dan calon Pejuang, Ahmad Luqman Ahmad Yahaya.