'PRU15 misi hidup, mati penentu masa depan negara'

Salahuddin berucap semasa berkempen dalam program Demo Pes Asam Pedas Kak Tim Viral di Kampung Sungai Perling, Johor Bahru pada Ahad.
Salahuddin berucap semasa berkempen dalam program Demo Pes Asam Pedas Kak Tim Viral di Kampung Sungai Perling, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai 'misi hidup atau mati' yang akan menentukan masa depan negara.

Justeru beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai berkata, gabungan tersebut perlu mempertahankan beberapa kerusi Parlimen terutama di negeri ini yang dilihat penting dan perlu menang.

"Kami perlu mempertahankan kerusi Parlimen Gudang, Tebrau, Johor Bahru, Pulai dan Iskandar Puteri selain menang di Pengerang and Tanjung Piai," katanya ketika berucap dalam Ceramah Megah Johor di Taman Gaya di sini pada malam Ahad.

Pada PRU14, Salahuddin yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Pulai menang dengan majoriti 28,924 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada BN, Dr Mohd Mazri Yahya (Pas) dan Yap Keng Tak (Bebas).

Pada PRU15, beliau sekali lagi akan berdepan Nur Jazlan dan calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong.

Sementara itu, Salahuddin berkata, keikhlasan dalam berpolitik amat penting dan jika sebaliknya akan berlaku sepertimana kejatuhan kerajaan Persekutuan ditunjangi PH kira-kira dua tahun lalu.

Jelas Pengerusi PH Johor itu, kerajaan PH tumbang selepas beberapa wakil rakyat pembangkang mengkhianati mandat yang diberikan rakyat.

Salahuddin mendakwa, beliau turut didatangi beberapa pihak supaya menyokong blok Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantuk kerajaan baharu semasa krisis politik tersebut yang berlaku pada awal 2020.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu katanya, beberapa ahli Parlimen PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bersama-sama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya tidak akan sekali-kali mengkhianati mandat diberikan pengundi pada 2018 dalam PRU14. Walaupun kerajaan PH jatuh, kami tidak pernah melompat kerana kami bukan 'katak'.

"Saya bersyukur kepada ALLAH kerana masih bersama-sama rakyat dan gabungan politik sama yang akan bertanding pada PRU15," ujarnya yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pulai.