22 bulan bukan indikator tentukan keupayaan PH

Hazwan (kiri), Azli (tengah) dan Afif ketika program Sinar Live bertajuk "YB boleh go ke? pada Ahad.
Hazwan (kiri), Azli (tengah) dan Afif ketika program Sinar Live bertajuk "YB boleh go ke? pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh 22 bulan bukan merupakan indikator yang mencukupi untuk memutuskan mengenai keupayaan Pakatan Harapan (PH) bagi mentadbir negara, kata Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Azli Yusof.

Beliau yang merupakan calon PH bagi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, gabungan itu perlu dinilai berdasarkan masa sebenar yang sepatutnya diberikan iaitu lima tahun.

“Kalau kita belajar pun macam anak kita yang sekolah di Tingkatan Lima, dia perlu lima tahun untuk buktikan dia gagal atau tidak. Mana boleh baharu dua tahun kita tarik dia, kemudian cakap jangan pergi sekolah kerana dia telah gagal.

“Jadi ini yang berlaku. Sepatutnya kita biarkan pemerintahan itu berlaku selama lima tahun, jalankan apa yang mereka janji dan sebagainya.

“Kalau terbukti lima tahun kerajaan itu memang tidak penuhi janjinya, boleh tukar dan tidak ada masalah. Tetapi bukan dengan 22 bulan itu kita kata dia gagal,” katanya ketika program Sinar Live bertajuk "YB boleh go ke? pada Ahad.

Program yang dihoskan Hazwan Mokhtar turut menampilkan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Shah Alam, Dr Afif Bahardin.

Menjawab mengenai tuduhan yang mengaitkan PH sebagai gabungan didominasi oleh DAP, Azli berkata, anggapan itu adalah sangat tidak benar kerana parti komponen itu hanya memegang sekitar 40 kerusi di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Azli
Azli

“Jadi bilangan DAP ini dalam kerusi Parlimen sudah terlalu minoriti berbanding wakil masyarakat lain yang membentuk corak negara kita,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, sebagai negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, pengundi juga harus keluar daripada politik rasisme dan amalan ekstrem agama.

Jelas beliau, perlembagaan juga memberikan peruntukan bagi melindungi kedaulatan orang Melayu dan kesucian agama Islam.

Dalam pada itu, Azli berkata, pada PRU15 kali ini, PH ingin membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa gabungan itu mampu memulihkan ekonomi seterusnya menstabilkan keadaan negara.

“Ini supaya rakyat kita tidak lagi terbeban dengan isu-isu yang berunsur khianat dan tidak bermaruah serta mengamalkan rasuah supaya negara kita ini kembali dihormati.

“...kita tidak mahu ada lagi kerajaan yang bertukar-tukar perdana menteri hanya dalam tempoh baharu 22 bulan, 17 bulan atau 19 bulan. Ini satu perkara yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku dalam negara,” katanya.