160 Orang Asli peluk Islam di Pahang dalam tempoh lima bulan

Asmadi pada majlis syahadah membabitkan 46 penduduk Orang Asli dari Kampung Orang Asli Samut dan Simoi Lama, Lipis, pada Selasa.
Asmadi pada majlis syahadah membabitkan 46 penduduk Orang Asli dari Kampung Orang Asli Samut dan Simoi Lama, Lipis, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 160 Orang Asli di Pahang memeluk agama Islam dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, jumlah pengislaman membabitkan masyarakat Orang Asli dijangka meningkat dalam tempoh tujuh bulan lagi.

"Kita akan menjalankan pelbagai aktiviti dakwah bagi menarik mereka (Orang Asli) untuk memeluk Islam.

"Jadi, kita yakin lebih ramai Orang Asli terbuka hati untuk menerima Islam selepas mereka terlibat dalam aktiviti dakwah yang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum itu, beliau bersama Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA), Penggerak Masyarakat Orang Asli, guru briged dan badan bukan kerajaan (NGO) melakukan majlis syahadah membabitkan 46 penduduk Orang Asli dari Kampung Orang Asli Samut dan Simoi Lama, Lipis.

Mengulas lanjut mengenai pengislaman masyarakat Orang Asli, Asmadi menjelaskan program pemantapan ibadah dan akidah akan dilakukan selepas pengislaman saudara baharu.

Ujarnya, ia bagi mendedahkan mereka kepada kefahaman Islam dengan lebih jelas.

"Kita akan mendedahkan mereka cara kehidupan berpegang kepada amalan dan gaya hidup seperti yang dituntut dalam agama Islam," katanya.

Asmadi menambah, MUIP juga segera membina surau di kawasan penempatan Orang Asli bagi membolehkan kelas agama dapat dilakukan secara berkala kepada mereka yang telah diislamkan.

"Kita bersama PePIMA dan NGO lain akan memberikan kelas agama dua kali seminggu. Kelas keagamaan ini perlu dilakukan bagi memantapkan kefahaman agama mereka.

"Malah, kita juga menempatkan seorang pembimbing dari PePIMA yang telah terlatih di perkampungan Orang Asli di setiap kampung bagi membantu memperkukuhkan tahap penguasaan dan amalan Islam dalam kalangan saudara baharu," ujarnya.