Anwar nafi dakwaan PH, BN kerjasama bentuk kerajaan

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

BAYAN LEPAS - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan beliau akan bekerjasama dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah fitnah.

Beliau dengan nada kiasan telah menyoal tentang dakwaan itu sama ada ia datang dari sumber sahih atau sebaliknya.

“Anwar dan Zahid nak tubuh kerajaan baharu, eh hang tengok mana? Orang Islam boleh fitnah begitu?

“Tanya apa yang saya bincang dengan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara), apa pendirian kita?

“Kita akan bekerja bertungkus-lumus supaya kita dapat majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dalam PRU15 (untuk bentuk kerajaan pusat),” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama penduduk di Bayan Baru, di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media di Kedah berkata, wujud satu muslihat antara UMNO serta BN dan PH dalam menghadapi PRU15 dengan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi laluan kemenangan besar kepada PH.

Dakwa Abdul Hadi, strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 selain mendakwa objektif akhir adalah menyelamatkan pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut menafikan dakwaan wujudnya kerjasama Anwar dan Zahid seperti didakwa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Anwar yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH perlu menang sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana blok politik selepas PRU15.

"Kita perlu menang sekurang-kurangnya 112 kerusi kerana rundingan dengan blok politik lain (sekiranya perlu) dilakukan bukan bersandarkan kepada kepentingan rakyat, malah lebih kepada rundingan untuk mendapatkan jawatan menteri, berapa gaji dan kontrak projek yang boleh ditawarkan.

“Kalau tidak dapat 112 kerusi, rundingan dengan puak-puak ini (blok BN, PN) bukannya atas dasar untuk membantu rakyat, dia mahu jadi menteri, berapa gaji akan dapat dan berapa kontrak akan dapat," katanya.

Oleh demikian, Anwar meminta rakyat membantu untuk menyelamatkan negara dan memberikan kemenangan kukuh kepada PH untuk membentuk kerajaan dan pastikan tiada rundingan dengan mana-mana parti politik lain.