Pengundi perlu tolak calon ada kes mahkamah


HUSSAMUDDIN
HUSSAMUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi perlu menggunakan kuasa yang ada untuk menolak calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada mana-mana parti yang sedang dibicarakan di mahkamah atau pernah dipenjarakan kerana melakukan kesalahan jenayah.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tindakan sedemikian perlu bagi memastikan usaha untuk membina negara yang bersih serta bebas daripada rasuah terutamanya akan terlaksana.

Jelasnya, dengan pelbagai teknologi yang ada ketika ini rakyat mempunyai akses lebih luas untuk membuat saringan terhadap calon-calon bertanding sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal mewakili suara mereka nanti.

“Kalaulah (mungkin) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis terlepas (saringan terhadap calon yang mungkin terlibat rasuah), pengundi sendiri boleh saring.

“Sebelum kita undi (seseorang calon) kita buat dahulu saringan sendiri berdasarkan pelbagai teknologi yang ada ketika ini untuk kita cari dan lihat sendiri latar belakang mereka.

“Jadi, sekurang-kurangnya kita tidak bergantung kepada saringan yang dibuat SPRM atau polis semata-mata tetapi kita sebagai pengundi juga boleh buat saringan dan ambil inisiatif untuk cari kelemahan atau kekuatan seseorang calon itu,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Malaysia Petang Ini’ di saluran Bernama TV pada Jumaat.

Hussamuddin dalam masa sama turut menggesa rakyat terutamanya yang layak mengundi supaya memilih calon atau bakal wakil rakyat yang berintegriti bukan berdasarkan parti tetapi atas faktor individu berkenaan.

“Sekarang ini untuk kita bina balik negara, kita perlu pastikan PRU15 nanti kita pilih calon yang berintegriti. Maksudnya kalau masih ada parti yang kumpulkan calon yang tidak berintegriti, kita tolak parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu sekarang ini kuasa ada pada rakyat, jadi rakyat harus ambil tanggungjawab ini untuk saring calon yang terlepas daripada saringan (ada kes mahkamah dan pernah dipenjarakan) untuk tolak mereka,” katanya.

Tambahnya, dengan pemilihan calon PRU15 yang berintegriti secara tidak langsung membolehkan undang-undang yang lebih jelas dirangka untuk tidak membenarkan mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah daripada bertanding pada PRU16 akan datang.