Polis tolak unsur mistik kes kanak-kanak pandu kereta

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

LANGKAWI - Polis menolak sebarang unsur mistik dikaitkan dengan kes kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu sebuah kereta lebih kurang 2.5 kilometer (km) sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menolak dakwaan wujud isu mistik seperti ditularkan, sebaliknya siasatan mendapati kanak-kanak itu mengetahui fungsi pedal minyak dan gear.

Shariman berkata, berdasarkan siasatan yang dibuat, didapati kanak-kanak tersebut juga tahu dan menunjukkan bagaimana cara menurunkan brek kenderaan itu.

"Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat menghidupkan enjin apabila diminta.

"Antara lain, kanak-kanak lelaki itu mampu menerangkan penggunaan gear kepada pegawai penyiasat trafik, selain tahu mengundur kereta," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Tambah beliau, melalui pemeriksaan dashcam, pihaknya mendapati pemanduan kanak-kanak itu tidak begitu stabil ketika kejadian pada malam Selasa.

"Kadangkala, sedikit memasuki lorong bertentangan dan kadang ke kiri dan ke kanan," katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada kanak-kanak itu turut diambil keterangan, beliau menyatakan kanak-kanak tersebut ada dibawa ke balai polis trafik Langkawi oleh ibu bapa semasa keterangan ibu bapa diambil.

Menurut beliau, pihak polis telah menemubual awal kanak-kanak tersebut sebelum ini.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kejadian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu sebuah kereta dikaitkan pula dengan unsur mistik.

Meskipun tidak dapat dipastikan kesahihan kisah berkenaan, namun rakaman audio perbualan suara kanak-kanak itu menceritakan kejadian tersebut kini tular di media sosial sejak malam Rabu.

Sebelum ini, seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu kereta dengan membawa adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai di Langkawi sebelum terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.