WTC bantu wanita teruskan karier dalam bidang teknologi

Panelis terdiri wanita profesional yang diundang pada sesi MBOT Red Lips Hi-Tea di Boathouse di sini pada Jumaat.
Panelis terdiri wanita profesional yang diundang pada sesi MBOT Red Lips Hi-Tea di Boathouse di sini pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) telah menubuhkan Women Technologist Chapter (WTC) Jun lalu sebagai platform meningkatkan kumpulan wanita menceburi bidang teknologi dan teknikal seterusnya meneruskan karier tersebut.

Presiden MBOT, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, ramai wanita berhenti daripada kerjaya tersebut selepas berumah tangga dan berkeluarga.

Menurutnya, daripada 60,000 warga teknologi berdaftar dengan MBOT hanya 15,000 atau 25 peratus daripadanya adalah wanita.

"Walaupun dalam 57 peratus wanita bergraduan dan lulusan universiti tetapi bilangan yang meneruskan karier dalam bidang teknologi adalah rendah.

"Melalui WTC, sasaran kita bukan hanya menyerlahkan profesion mereka tetapi mahu memberikan sokongan dari segi emosi, karier dan cara menangani keseimbangan antara karier dan keluarga," katanya pada program MBOT Red Lips Hi-Tea di Boathouse di sini pada Jumaat.

Tambahnya, antara dilema dihadapi wanita berkerjaya melibatkan pengurusan anak-anak kecil yang menjadi salah satu faktor golongan itu terpaksa melepaskan kerjaya.

"Jika kita sediakan sokongan di tempat kerja seperti pusat penjagaan anak-anak, ia lebih memudahkan kerana ada antara mereka berdepan situasi menghantar anak ke pusat asuhan sebelum ke tempat kerja yang jaraknya agak jauh.

"Banyak lagi perkara yang boleh dibantu bagi meneruskan karier mereka seperti aspek kenaikan pangkat dan kepimpinan.

Artikel Berkaitan:

"Sesetengah pihak berpandangan perlu jadi seperti lelaki untuk menjadi pemimpin, sebenarnya kekuatan wanita itu sedia melengkapi sesebuah organisasi. Ini dibuktikan di luar negara apabila syarikat yang mempunyai ramai wanita, mereka lebih matang dan cemerlang," ujarnya.

Siti Hamisah (kiri) dan Sharifah Zaida (tengah) mendengar sesi perkongsian figura wanita profesional.
Siti Hamisah (kiri) dan Sharifah Zaida (tengah) mendengar sesi perkongsian figura wanita profesional.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa WTC, Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim berkata, beliau berharap inisiatif WTC menjadi platform dan bimbingan untuk wanita berdaya saing dalam mendepani cabaran.

Jelasnya, MBOT Red Lips Hi-Tea yang diadakan pada Jumaat adalah permulaan program bagi mengumpulkan wanita-wanita yang terlibat dalam profesion teknologi dan teknikal.

"Bagi mendukung misi dan visi MBOT serta merealisasikan inisiatif WTC, kami akan bergerak secara proaktif merangka pelbagai program antaranya Jelajah Jerayawara Teknologis Wanita, Women in Tech Mentor Mentee Program dan libat urus dengan pemegang taruh berkaitan," katanya.

MBOT Red Lips Hi-Tea mengetengahkan figura wanita profesional sebagai panelis bagi membincangkan permasalahan dihadapi wanita berkerjaya.

Mereka adalah Presiden Air Asia Digital, Aireen Omar; Pengurus Berjaya Airlines, Uma Shangery Aruldass dan Pengurus Besar Telekom Malaysia, Norhasita Mohd Yusof.