Polis catat rampasan, sitaan RM2,759,073

Antara kenderaan (kereta mewah) yang dirampas. (Antara barangan yang dirampas.)
Antara kenderaan (kereta mewah) yang dirampas. (Antara barangan yang dirampas.)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya mencatat nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM2,759,073.78 hasil kejayaan Op Khas dan Terancang yang dijalankan di sekitar negeri mulai 28 Oktober sehingga 23 November lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor itu secara keseluruhannya bertujuan menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah di Johor.

“Dua operasi berkenaan yang melibatkan seramai 25 pegawai dan anggota turut membuat 17 serbuan di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Kota Tinggi.

“Malah, polis turut menahan 22 individu melibatkan 20 warga tempatan (19 lelaki, seorang wanita), selain dua wanita warga asing berusia dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun yang ditangkap dengan sejumlah rampasan dadah.

“Setakat ini, kesemua suspek berkenaan telah direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Op berkenaan turut merampas 7.02kg syabu, 5.80kg heroin, 489.30gm ketamine, 305.80gm serbuk ektasi, 114.13gm pil erimin (340 biji), 13.20gm pil ektasi (32 biji), 0.65gm ganja dan menghasilkan nilai rampasan berjumlah RM1,668,395.78.

Selain itu pihak JSJ Narkotik Johor juga telah menyita tujuh barang melibatkan wang tunai RM145,458, USD4,684, USD30, lapan kereta pelbagai jenis, jam tangan Rolex (2), barangan kemas pelbagai jenis (14), telefon bimbit (232) dengan jumlah sitaan kira-kira RM1090,678.

Sebagai rekod, bermula 1 Januari hingga 3 November 2022, JSJ Narkotik Johor telah berjaya menangkap seramai 12,397 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.97 tan dengan nilai RM13.17 juta selain harta bernilai RM9.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan rumah yang berada dalam kawasan berpagar (gated and guarded) sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum ‘runner’ menggunakan motosikal akan mengedarkannya di sekitar kawasan Johor Bahru dan kesemua suspek dipercayai telah bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman menyeru supaya orang ramai akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Orang ramai boleh menghubungi JSJN di talian 012-2087222 bagi menyalurkan maklumat-maklumat yang diperlukan,” katanya