PH lancar Tawaran Harapan PRU15

Anwar berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh! di Bandar Baru Klang hari ini. Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh! di Bandar Baru Klang hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Pakatan Harapan (PH) menyenaraikan sasaran untuk menghapuskan tol, memastikan pemimpin mengisytihar harta dan pengampunan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar sebagai sebahagian daripada manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ikrar tersebut terkandung dalam dokumen manifesto PH yang dilancarkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.

Menurut manifesto tersebut, PH telah menunjukkan komitmen dengan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik.

Langkah tersebut membolehkan pengurangan 18 peratus kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).

"Kami bertekad untuk meneruskan pengurangan tol PLUS secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan tol dan pengembalian lebuhraya PLUS kepada milik awam," menurut manifesto bertajuk Tawaran Harapan PRU15 itu.

PH menerusi manifesto berkenaan juga menegaskan pencalonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan.

Langkah tersebut bagi menjamin pelantikan calon yang neutral tanpa tujuan melindungi kepentingan pihak tertentu.

Pada masa sama, PH berhasrat meneruskan amalan pengisytiharan aset yang telah menjadi satu amalan pasca PRU14.

Artikel Berkaitan:

"Kami berhasrat meneruskan amalan ini bagi semua menteri, Ahli Parlimen, Penjawat Awam Kanan, Pengerusi GLC serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat yang berumur 18 tahun ke atas,"katanya.

Menerusi dokumen sama, PH juga berjanji memperkenalkan Akta Pendanaan Politik bagi membendung gejala politik wang dan penyelewengan dana.

"Kami juga akan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar, dan Ketua Menteri kepada maksimum 10 tahun untuk mengelakkan pemusatan kuasa berlebihan kepada jawatan-jawatan ini dan menjamin ketelusan pentadbiran negara," katanya.

Selain itu, PH akan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang berpotensi menggugat keselamatan negara.

Katanya, klasifikasi hendaklah tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Parlimen dan bukannya budi bicara menteri.

Menyentuh mengenai hutang PTPTN, PH juga menyenaraikan pengampunan hutang PTPTN secara bersasar bagi mengatasi masalah pinjaman pendidikan tidak munasabah di kalangan siswa.

"Program Pengampunan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan diperkenalkan.

"Jadual pembayaran semula PTPTN pula akan dilaksana berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji," katanya.

Dalam masa yang sama, PH juga akan memperkenalkan lebih banyak biasiswa mencakupi golongan B40 untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN.

Manifesto tersebut turut memperkenalkan Program Kembara Siswa bertujuan meringankan beban mahasiswa yang mahu pulang ke kampung halaman terutamanya sewaktu musim perayaan.

"Kembara Siswa akan menyediakan tiket pada kadar harga tetap (RM199) untuk penerbangan di antara Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya dengan had dua tiket setahun bagi setiap mahasiswa,"katanya.

Selain itu, PH turut memberi perhatian terhadap keselesaan hidup bagi rakyat di usia emas dengan berhasrat menggubak Akta Warga Emas dan menekan kepentingan Dasar Penuaan Aktif (Active Aging Policy).

"PH akan menyediakan skim-skim yang mesra kepada warga di usia emas merangkumi baucer Jom Shopping bernilai RM100, Khairat Kematian bernilai RM1,000 dan Jom Travel yang menyediakan pengangkutan bas percuma kepada warga emas mengunjungi pusat pelancongan tempatan.

"Kami juga akan mewajibkan penubuhan pusat aktiviti warga emas atau pusat harian warga emas dalam pelan rancangan tempatan dan pelan pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.