Polis Kelantan terima laporan alih bendera parti

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan pihaknya ada menerima aduan berkaitan isu alih bendera parti politik sejak Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, walaupun kes tersebut terpencil namun polis mengambil serius perkara itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Setakat ini kita ada menerima aduan kes berkait bendera berlaku di Bachok dan beberapa kawasan lain.

"Bagaimanapun setakat ini tiada kes serius yang dilaporkan, saya telah mengarahkan semua anggota di seluruh negeri untuk melakukan pemantauan menerusi Ops Cantas bagi memantau situasi sepanjang PRU15 berlangsung," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Beliau dalam pada itu mengingatkan semua petugas parti politik supaya tidak terlalu ghairah memasang bendera sehingga bertindak di luar batasan sekali gus menimbulkan rasa kurang senang orang lain.

Tambahnya, jika berlaku suasana tegang, orang ramai 'diwajibkan' menghubungi pihak polis dengan segera.

Ujar Muhamad Zaki, tindakan segera itu bagi membendung berlakunya situasi lebih tegang.

"Saya tahu semua terlalu teruja hendak menghadapi PRU15, mungkin ada segelintir anak-anak muda bertindak di luar batasan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh sama-sama hendak pasang bendera tapi mengalihkan bendera orang lain. Pesan saya pasanglah bendera dengan mengamalkan konsep tolenrasi dan menghormati hak orang lain," katanya.