Tular polis enggan terima laporan orang awam disiasat

Video seorang lelaki tular di media sosial mendakwa pegawai polis di IPD Ipoh enggan menerima laporannya bagi tujuan keselamatan diri. - Foto Ihsan pembaca
Video seorang lelaki tular di media sosial mendakwa pegawai polis di IPD Ipoh enggan menerima laporannya bagi tujuan keselamatan diri. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis memandang serius keengganan salah seorang pegawainya menerima laporan yang dibuat seorang lelaki sehingga video luahan kekesalannya tular di media sosial pada Ahad.

Video berdurasi 35 saat itu menarik perhatian masyarakat berikutan lelaki terbabit mendakwa polis enggan menerima laporan yang dibuatnya bagi tujuan keselamatan diri dipercayai tindakannya melupuskan lebih 200 poster berkaitan iklan along.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menghalang individu terbabit untuk membuat laporan di mana-mana balai polis.

"Pihak polis menyambut positif terhadap sebarang maklum balas yang diterima daripada rakyat.

"Dakwaan individu terbabit telah dirujuk ke Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan dalaman," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kandungan video tersebut hingga menjejaskan siasatan dalaman polis atau mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.